Pengenalan

Sektor ini asalnya dikenali sebagai Sektor Pelbagai Media Pendidikan.  Penstrukturan peringkat dalaman Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) pada akhir tahun 2006, nama sektor ini ditukar kepada Sektor Penyelidikan dan Bahan Teknologi Pendidikan. Dalam hal ini, fungsi dan peranan sektor ini turut berubah. Namun begitu, penjenamaan semula nama sektor dilaksanakan sekali lagi. Sektor ini kemudian dikenali sebagai Sektor Penyelidikan dan Galak Guna Bahan Teknologi Pendidikan. Seterusnya, sektor ini dikenali sebagai Sektor Promosi dan Inovasi Teknologi Pendidikan dan memantapkan organisasi BTP ke arah inisiatif ICT kini diwujudkan pula Sektor RESOS Pembelajaran disamping  usaha BTP memantapkan lagi fungsi dan peranan sektor-sektor dalam organisasinya.

Pada awalnya, sektor ini berperanan untuk melaksanakan pembangunan e-Bahan dan perisian kursus kepada keberkesanan produk-produk teknologi pendidikan yang digunakan di sekolah-sekolah. Kini, dalam usaha menerap dan membudayakan penggunaan teknologi pendidikan di sekolah, sektor memberi fokus kepada usaha promosi dan inovasi dalam bidang teknologi pendidikan. Peranan ini adalah sejajar dengan visi BTP untuk mewujudkan budaya penggunaan teknologi pendidikan di sekolah dengan misi membina dan mengekalkan budaya penggunaan teknologi pendidikan dalam kalangan guru dan murid bagi mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi terutamanya teknologi maklumat dan komunikasi telah memberi peluang yang luas kepada pendidik untuk meningkatkan kualiti pengajaran. Pelajar mempunyai kepelbagaian media dan pilihan untuk memperoleh ilmu. Keadaan ini telah memberi kesan kepada orientasi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang lebih berfokus kepada pelajar manakala guru memainkan peranan sebagai pemudah cara. BTP berperanan untuk memastikan produk teknologi pendidikan sesuai digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran.