Hishammuddin lancar SMS Hari Guru

Oleh: HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 20 April - Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini melancarkan Kempen Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) sempena sambutan Hari Guru 2006 pada 16 Mei ini bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyampaikan penghargaan ke atas jasa dan pengorbanan para guru.

Melalui kempen tersebut setiap SMS yang dihantar kemudiannya akan menerima balasan ucapan terima kasih daripada Hishammuddin.
Menurut Hishammuddin, semua pesanan yang dihantar melalui SMS itu akan dipaparkan dalam media elektronik dan media cetak sepanjang kempen tersebut berlangsung sehingga 31 Mei ini.
Media yang terbabit dalam kempen tersebut ialah Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Astro, NTV7, Utusan Malaysia, Kosmo, Berita Harian, Harian Metro, the Star dan New Straits Times.

Pesanan boleh dihantar dengan menaip GURU dedikasi kepada guru dan hantar ke 32020 dan setiap mesej akan menerima balasan ucapan terima kasih daripada Hishammuddin.
Setiap SMS dikenakan caj sebanyak 30 sen menerusi komunikasi dua hala tersebut.
Hishammuddin berkata, golongan pelajar khususnya perlu memberikan penghargaan dan kata semangat kepada para guru termasuk melalui kempen SMS tersebut.
``Sesungguhnya tanggal 16 Mei cukup penting dan bermakna kerana setiap daripada kita mempunyai guru-guru yang telah banyak berjasa.

Oleh itu adalah wajar sekiranya perayaan Hari Guru yang disambut setahun sekali diberikan kedudukan istimewa,'' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen tersebut di kementeriannya di sini hari ini.
Kempen tersebut adalah anjuran kementerian tersebut dengan kerjasama MyPressto. Com Sdn. Bhd.

Hadir sama ialah Pengerusi My Pressto.Com, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf dan wakil-wakil media yang terbabit dalam kempen tersebut. Kumpulan Utusan diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarangnya, Hamzah Sidek.
Hishammuddin berkata, pelbagai pihak perlu memikirkan cara yang terbaik bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada para guru dalam menjalankan tanggungjawab besar mendidik anak bangsa.

Beliau menjelaskan, meskipun ada di antara warga pendidik merasa tertekan dengan bebanan tugas, mereka tetap terus memikul tanggungjawab berkenaan. Sekiranya mereka tidak memikul tanggungjawab tersebut dengan bersungguh-sungguh walaupun dengan adanya infrastruktur yang canggih, kita tidak dapat melahirkan insan yang dapat mengisi agenda mencapai negara maju.

Segala tuduhan negatif terhadap mereka sebenarnya tidak menggambarkan realiti sebenar kerana majoriti guru komited dengan kerjaya mereka, jadi berikan pengiktirafan dengan bersungguh-sungguh kerana kadang-kala guru sebenarnya adalah wira yang tidak didendang, katanya.

Utusan - 21/04/2006

 

 



Paparan terbaik 1024x768 pixel
Hakcipta © 2005 Kementerian Pelajaran Malaysia
Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.