PM rasmi Hari Guru di PWTC 16 Mei

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan merasmikan perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-35 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 16 Mei ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim, berkata pada majlis itu Perdana Menteri akan menyampaikan anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2006 dan Tokoh Kepemimpinan Pengurusan Pendidikan kepada mereka yang terpilih.
Perayaan kali ini bertema “Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan" juga memberi fokus kepada peranan guru dalam memartabatkan profesyen perguruan, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan kali ini, yang menyaksikan sambutan berbeza berbanding sebelumnya apabila diadakan pameran yang berkonsepkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai ekspo pendidikan.

Beliau berkata, selain itu beberapa sambutan lain juga diatur iaitu Malam Titian Gemilang pada 15 Mei di PWTC, anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan yang akan dihadiri oleh Menterinya, Datuk Zulhasnan Rafique dan dirasmikan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Berita Harian

 

 



Paparan terbaik 1024x768 pixel
Hakcipta © 2005 Kementerian Pelajaran Malaysia
Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.