Kementerian adakan pameran khas

SEMPENA sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun ini, Kementerian Pelajaran buat julung kali akan mengadakan pameran khas dikenali sebagai `Pameran Kecemerlangan Pendidikan 2006'.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penganjuran pameran terbuka kepada orang ramai itu adalah antara usaha kementerian menghargai jasa serta pengorbanan guru selama ini.

Beliau berkata, pameran yang akan berlangsung selama tiga hari, mulai 14 Mei ini di Dewan Tun Abdul Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, dibahagikan kepada dua segmen, iaitu meniti zaman dan interaktif.

Segmen meniti zaman, katanya, adalah sorotan sejarah awal pendidikan sejak sebelum merdeka dengan menonjolkan sistem pembelajaran dan pengajaran ketika itu.

“Pameran berbentuk `time tunnel' itu akan menunjukkan perubahan dari segi infrastruktur, kemudahan mengajar dan ketrampilan guru kita hingga ke zaman moden ini.

“Ini bertujuan memberi pendedahan kepada pengunjung yang rata-rata guru, pelajar dan ibu bapa mengenai usaha gigih kerajaan membawa kemodenan serta kemudahan pembelajaran.

“Secara tidak langsung, pengunjung juga akan mendapat gambaran betapa besarnya pengorbanan guru kita pada zaman dulu,” katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.

Berita Harian

 

 



Paparan terbaik 1024x768 pixel
Hakcipta © 2005 Kementerian Pelajaran Malaysia
Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.