| 3,000 tetamu dijemput meriahkan pelancaran
SERAMAI 3,000 tetamu dijemput memeriahkan majlis pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2006 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada 16 Mei ini.
Menurut Jawatankuasa Pengelola, jemputan ke majlis yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu meliputi pelbagai peringkat warga pendidikan, termasuk kontinjen jabatan pelajaran negeri.
Beliau berkata, tetamu itu juga merangkumi kira-kira 1,300 kakitangan Kementerian Pelajaran diketuai Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Di samping itu, bekas pegawai pengurusan tertinggi kementerian ini, pertubuhan guru, Menteri Besar dan pegawai kerajaan negeri, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, penerima Anugerah Tokoh Guru sebelum ini serta wakil kementerian lain,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 66 ruang pameran disediakan pada Pameran Kecemerlangan Pendidikan 2006 yang akan diadakan sempena sambutan Hari Guru kali ini.
Daripada jumlah itu, lima adalah ruang pameran utama yang sudah ditempah, manakala 61 lagi pameran biasa dan kira-kira 60 peratus daripadanya sudah dipenuhi.
Program berkenaan akan turut dijayakan syarikat swasta, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan media massa yang menyertai segmen pameran interaktif.
Berita Harian |