| Kenaikan diberikan dari semasa ke semasa bagi iktiraf sumbangan pendidik
SERAMAI 1,600 guru sedang menyandang jawatan Guru Cemerlang bagi kedua-dua kategori bukan siswazah dan siswazah di sekolah rendah serta menengah seluruh negara.
Ketua Nazir Sekolah, Alimuddin Mohd Dom, berkata daripada jumlah itu, seramai 1,000 adalah pegawai perkhidmatan pelajaran (PPP) bukan siswazah, manakala bakinya PPP siswazah.
Katanya, PPP siswazah berkenaan termasuk enam yang menyandang Gred Khas C, iaitu jawatan naik pangkat tertinggi disediakan kepada guru.
Sambil menjelaskan Jemaah Nazir Sekolah (JNS) berperanan sebagai Urus Setia Pemilihan Guru Cemerlang Peringkat Kebangsaan, beliau berkata, mereka mengisi sebahagian daripada kuota 1,600 jawatan Guru Cemerlang Bukan Siswazah serta 1,000 jawatan Guru Cemerlang Siswazah yang sudah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Pelantikan ke jawatan Guru Cemerlang dilakukan dari semasa ke semasa dan bilangan penyandangnya tidak statik berikutan faktor seperti persaraan.
“Jawatan Guru Cemerlang yang diperkenalkan sejak 1993 ialah salah satu bukti pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan golongan pendidik, sekali gus memartabatkan profesion keguruan.
“Antara objektif pelaksanaan ini ialah untuk memperluaskan jawatan naik pangkat dalam perkhidmatan pendidikan, serta membolehkan guru menikmati kenaikan pangkat tanpa perlu meninggalkan tugas mengajar di bilik darjah atau bertukar ke jawatan pentadbiran.
“Ini sebagai penghargaan terhadap pengorbanan serta bakti pendidik yang sentiasa dikenang dan diraikan, terutama melalui sambutan perayaan Hari Guru setiap tahun,” katanya kepada Berita Harian.
Sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2006 pula, Alimuddin berkata, JNS juga menjadi Urus Setia Anugerah Sekolah Harapan Negara yang dimulakan pada 1991.
Katanya, penganugerahan itu bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada sekolah yang berjaya mempertingkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh.
Beliau berkata, konsep utama penganugerahan itu berpegang kepada pembangunan sekolah secara sistematik dan berterusan selaras misi kementerian untuk menjana sistem pendidikan berkualiti serta bertaraf dunia.
“Anugerah ini diberikan kepada sekolah berpotensi atau ada harapan untuk mencapai tahap cemerlang. Taraf `Harapan' ialah sekolah yang mencapai Tahap 5 dengan memperoleh skor antara 70 sehingga 79 peratus.
“Indeks pengukuran digunakan ialah Instrumen Pemastian Standard: Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Empat dimensi dinilai melalui instrumen ini, iaitu kemenjadian murid yang melihat tahap pencapaian mereka dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.
“Selain itu, hala tuju kepimpinan yang melihat keberkesanan guru besar atau pengetua sebagai pemimpin pendidikan, pengurusan organisasi, serta pengurusan program pendidikan,” katanya.
Alimuddin berkata, tujuh kategori disediakan dalam Anugerah Sekolah Harapan Negara 2006, iaitu Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Menengah Harian Bandar, Sekolah Menengah Harian Luar Bandar, Sekolah Rendah/Menengah Pedalaman, Sekolah Menengah Teknik, dan Sekolah Pendidikan Khas.
Berita Harian |