Jadikan guru modal insan bermartabat
KUALA LUMPUR 16 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, guru perlu terus menimba ilmu pengetahuan supaya dapat melahirkan modal insan yang tinggi martabatnya.
Perdana Menteri berkata, sebagai barisan hadapan pelaksana agenda pendidikan negara, guru mampu mengubah insan supaya berguna kepada masyarakat.
Beliau berkata, tanggungjawab guru sangat berat dalam mendidik anak bangsa dan ia merupakan satu cabaran yang tidak boleh dielak.
``Kita harapkan (untuk menjadikan) anak-anak kita lebih baik, guru perlu lebih baik lagi. Adalah menjadi harapan saya supaya guru dapat melaksanakan tugas untuk membangunkan modal insan.
``Kita mahu jadikan bangsa kita dikenali, bangsa yang berjaya dan disenangi oleh bangsa lain di dunia,'' katanya berucap pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-35 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique ; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar dan Datuk Hon Choon Kim.
Lebih 3,000 tetamu dalam bidang pendidikan hadir pada majlis yang khusus merai dan menobatkan profesion perguruan tanah air.
Abdullah dalam pada itu turut menyeru guru supaya meningkatkan usaha melahirkan anak bangsa yang berilmu, berketerampilan, berkeupayaan dan berdaya saing.
Perdana Menteri berkata, usaha itu perlu dimulakan daripada awal kerana kekuatan dan ketahanan seseorang mesti dibina daripada kecil dan di sini peranan guru tidak dapat dinafikan.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa membantu dan memberi keutamaan dalam meningkatkan persekitaran perguruan dan pendidikan di negara ini.
Pada masa yang sama beliau mengingatkan para guru agar tidak memilih tempat untuk bertugas dan sentiasa bersedia berkhidmat di mana sahaja.
``Ini adalah bagi memastikan tidak ada anak bangsa yang tercicir atau dinafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan yang baik.
``Jangan hanya nak duduk tempat yang seronok sahaja. Dalam negara membangun kita harus pastikan anak-anak kita berpeluang belajar walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman,'' katanya.
Pada majlis itu, Abdullah menyampaikan anugerah `Tokoh Guru Kebangsaan 2006' kepada pesara guru dan bekas Pengelola Pelajaran Dewasa Melaka, Datuk Borhan Md. Yaman yang juga aktif dalam menghasilkan sajak; bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki dan kini Profesor Institut Pengajian Kepengetuaan Kampus Kota, Universiti Malaya, Profesor Dr. Hussein Ahmad dan bekas penyelia Sekolah-sekolah Perlis, Azizah Md. Taib.
Abdullah turut menyampaikan `Anugerah Tokoh Kepimpinan 2006' kepada Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh. UTUSAN MALAYSIA - 17 Mei 2006 |