Bismillah-ir Rahman-ir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarrakatuh dan Selamat Sejahtera
1. Alhamdullilah , bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana sekali lagi, dengan izin, limpah dan kurnia-Nya , kita dapat bersama-sama meraikan sambutan Hari Guru untuk kali yang ke-35 , dalam suasana aman, meriah dan gembira .
2. Tahun ini merupakan tahun ketiga , saya menyambut perayaan Hari Guru sebagai warga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) . Saya berasa amat gembira kerana pada tahun ketiga ini , banyak usaha yang sedang dilakukan oleh pelbagai pihak , baik di kalangan warga KPM mahupun yang bukan warga KPM , untuk mengangkat tahap kemeriahan sambutan perayaan Hari Guru . Kelihatan terdapat kesungguhan di kalangan warga Kementerian Pelajaran Malaysia , untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat terhadap peranan , jasa dan pengorbanan guru , serta terdapat juga keterbukaan dan persefahaman , untuk meningkatkan penglibatan secara langsung anggota masyarakat di dalam sambutan Hari Guru , dan menjadikannya sebagai perayaan kita bersama .
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian ,
3. Tahun ini , saya merasakan sambutan perayaan Hari Guru wajar dijadikan berbeza sedikit berbanding sambutan pada tahun-tahun sebelumnya . Selain dari tahap kemeriahan dan tahap penglibatan masyarakat, mungkin penekanan dan semangat sambutannya juga , perlu dijadikan berbeza .
Ini penting kerana pada ketika ini , kita sedang berada di peringkat permulaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) . Penekanan dan semangat perayaan , tidak boleh lagi sekadar meraikan jasa dan pengorbanan golongan guru , sebaliknya perlu menjurus ke arah usaha untuk memperbaharui komitmen kita semua , terhadap profesion keguruan dan juga pendidikan anak bangsa , serta meningkatkan peranan yang perlu kita mainkan bersama dan secara bersungguh-sungguh sebagai , golongan yang berada di barisan paling hadapan , di dalam melaksanakan agenda dan wawasan negara .
4. Seperti yang kita semua sedia maklum , Perdana Menteri, Y.A.B. Perdana Menteri dalam ucapan pembentangan RMK9 baru-baru ini , telah mengistiharkan sebuah misi nasional menggariskan lima teras utama . Dua daripadanya , sangat berkait rapat dengan pembangunan modal insan dan bidang pendidikan , serta peranan yang perlu dimainkan oleh kita semua .
5. Bagi menyahut misi nasional ini , Kementerian Pelajaran Malaysia pula tidak lama lagi akan melancarkan secara rasminya , Pelan Tindakan atau blue-print Kementerian Pelajaran sepanjang Rancangan Malaysia Ke-9 . Pelan tindakan ini amat penting , kerana melalui pelan tindakan ini , kita akan menyediakan asas yang kukuh untuk reformasi pendidikan sepenuhnya menjelang tahun 2020 . Melalui pelan tindakan yang dirangka inilah , kita berhasrat untuk mencapai tiga matlamat utama, iaitu :
Pertama : membentuk ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia maju pada tahun 2020 ,
Kedua : menyediakan akses , ekuiti dan pendidikan berkualiti untuk semua golongan , agar pada tahun 2020 kelak , tidak ada mana-mana pihak yang tercicir dari arus kemajuan negara , dan,
Ketiga : terarah untuk memastikan pembangunan yang mampan agar kemajuan yang dicapai oleh negara dan bangsa dapat terus dipertahankan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
6. Saya sedar, tuan-tuan dan puan-puan telah banyak menyumbang terhadap sejumlah kejayaan yang kita capai di dalam pendidikan anak bangsa tetapi kita semua perlu juga dan menerima mengakui hakikat bahawa terdapat tugas-tugas kita yang masih belum selesai dan belum dapat kita sempurnakan biarpun kita telah melalui beberapa rancangan lima tahun sebelum ini. Begitu juga, masih terdapat ruang dan lompong yang perlu kita isi untuk memastikan anak-anak kita, sekolah kita dan negara kita dapat diangkat ke tahap yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
7. Justeru dalam Pelan Pendidikan Rancangan Malaysia Ke-9 yang akan diumumkan, saya telah menggariskan dua pendekatan bagi melaksanakan misi nasional sepanjang RMK9 ini, iaitu;
i. Pertama: kita mahu menggerakkan komitmen untuk menyelesaikan tugas-tugas kita yang masih belum selesai. Walaupun tugas-tugas ini ada dilaksanakan di sepanjang rancangan-rancangan lima tahun sebelum ini, usaha untuk memastikan akses usaha, untuk memaratakan dan menyama ratakan medan persaingan di kalangan anak-anak kita perlu terus diperjuangkan ,
ii. Kedua: kita mahu menggerakkan komitmen untuk mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah-sekolah di dalam kelompok-kelompok kecemerlangan sehingga sekolah-sekolah ini termasuk guru dan pelajarnya boleh mengangkat nama negara dan sistem pendidikan negara di mata dunia.
8. Dalam pendekatan pertama, saya memerlukan komitmen baru daripada tuan-tuan dan puan-puan untuk memastikan tidak ada anak-anak kita yang tercicir dari sistem pendidikan kita .
Komitmen tekad dan azam baru amat penting , agar jangan pada masa dan ketika kita mengistiharkan negara kita maju pada tahun 2020 , masih ada di kalangan warga rakyat Malaysia tercicir, akibat kemiskinan, tercicir akibat berada di kawasan luar bandar dan pedalaman, tercicir akibat kecacatan, akibat kurang kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ataupun akibat tidak menguasai kemahiran 3M. Maka sebagai contoh melalui komitmen , tekad dan azam baru ini , tuan-tuan dan puan-puan, cikgu-cikgu kita perlu bersiap sedia secara fizikal dan mental untuk berada di kawasan luar bandar dan pedalaman apabila diperlukan bagi memastikan anak-anak kita di kawasan ini mendapat pendidikan yang sewajarnya.
9. Dalam pendekatan kedua, saya memerlukan komitmen , tekad dan azam baru, daripada tuan-tuan dan puan-puan untuk meningkatkan kemahiran, keperibadian dan kepimpinan masing-masing agar dapat kita mengangkat kecemerlangan sekolah-sekolah kita yang telah mencapai tahap cemerlang ke suatu tahap yang lebih tinggi. Bagi mereka yang mempunyai tahap kemahiran, keperibadian dan kualiti kepimpinan yang dikehendaki, saya bersedia memberikan sedikit autonomi. Saya sedia memikirkan insentif-insentif tertentu untuk memastikan tuan-tuan dan puan-puan dapat merangka dan menyesuaikan program-program yang sedia ada untuk meningkatkan lagi kelebihan, kekuatan dan daya saing sekolah masing-masing .
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Dalam Rancangan Malaysia ke-9, kita akan terus menjadikan agenda untuk memartabatkan profesion keguruan sebagai salah satu dari agenda utama KPM. Kita cukup komited untuk memastikan bukan sahaja kita dapat menghasilkan guru yang berkualiti, tetapi lebih daripada itu, iaitu untuk memastikan mereka yang berkualiti ini kekal di dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Kita akan meneruskan usaha untuk memantapkan pemilihan bakal guru, memantapkan latihan perguruan, menambah baik karier keguruan dan persekitaran kerja guru dan meningkatkan rasa bangga guru terhadap profesionnya .
11. Saya percaya, dan cukup yakin saudara dan saudari sekalian dapat melihat sendiri kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan sepanjang tempoh dua tahun ini. Banyak usaha yang telah dilaksanakan dan banyak lagi yang sedang diusahakan bagi menjadikan Skim Perkhidmatan Pendidikan sebagai salah satu skim perkhidmatan kerajaan yang terbaik berbanding skim perkhidmatan penjawat awam yang lain. Tentulah wajar semasa kita meraikan sambutan hari guru tahun ini jasa baik dan keprihatian kerajaan ini dibalas dengan memperbaharui komitmen kita kepada profesion keguruan, terhadap pendidikan anak bangsa dan untuk menjayakan misi nasional seperti yang telah digariskan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
12. Saya mengambil kesempatan menegaskan sambutan Hari Guru 2006 ini, untuk menegaskan sesungguhnya profesion keguruan HANYA untuk mereka yang bersedia mencurahkan jiwa dan raga terhadap pendidikan anak bangsa. Tidak ada tempat bagi mereka yang tidak sanggup berkorban, tidak ada tempat bagi mereka yang tidak berdisiplin dan tidak ada tempat bagi mereka yang tidak sanggup meningkatkan kemahiran, kualiti perkhidmatan dan daya kepimpinan mereka demi mengangkat tahap pendidikan anak bangsa. Tidak ada tempat bagi mereka yang tidak sanggup berusaha keras untuk mengangkat imej profesion keguruan; apa lagi mereka yang mencemarkannya dengan sikap dan tindakan mereka.
13. Hari ini , trend profesion keguruan di negara-negara lain di dunia telahpun berubah. Sekadar memiliki segulung ijazah tidak lagi menjanjikan tempat sebagai guru di sekolah-sekolah. Di negara-negara tertentu, guru ditemu duga sebelum diterima oleh sekolah, terpaksa melalui tempoh percubaan dan perlu menduduki ujian kompetensi sebelum layak menjawat jawatan guru. Di negara-negara tertentu insentif hanya diberi kepada mereka yang layak dan yang memenuhi Petunjuk Prestasi Utama sahaja. Hanya melalui proses seperti ini barulah pentadbir sekolah yakin guru yang diambil benar-benar mampu menyumbang kepada kejayaan pelajar dan sekolah mereka.
14. Ada kemungkinan disebabkan proses seperti ini jugalah martabat profesion keguruan di negara-negara tertentu ini semakin tinggi, semakin mendapat kepercayaan masyarakat dan semakin memberikan kepuasan terhadap golongan guru. Negara kita juga mungkin akan terpaksa melalui proses yang sama bagi memastikan profesion keguruan kita terus diiktiraf , dihormati dan dikagumi .
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
15. Sesungguhnya banyak perkara yang hendak kita laksanakan di dalam Rancangan RMK9 dan segalanya perlu dilakukan dengan sempurna agar kita dapat menyediakan asas yang kukuh untuk reformasi sepenuhnya sistem pendidikan menjelang tahun 2020. T ugas ini amat berat dan saya memerlukan guru-guru yang benar-benar komited, amanah, jujur dan yang sanggup bekerja keras untuk memastikan segala perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan dan inilah merupakan tanggungjawab kita bersama Inilah yang saya mahu kita bertekad dan berazam, sempena meraikan Hari Guru Tahun ini.
16. Akhir kata , sebagai golongan yang berada di barisan paling hadapan di dalam menjayakan wawasan negara , peranan cikgu-cikgu sekalian amat penting bagi memastikan misi nasional ini dapat disempurnakan. Besarlah harapan saya sekiranya tuan-tuan dan puan-puan sudi bekerja bersama-sama dengan saya dan memperbaharui komitmen dalam menunaikan amanah agama, bangsa dan negara. Selamat menyambut Hari Guru 2006. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada semua warga pendidik di atas segala kesungguhan dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan selama ini. Saya yakin, jasa baik dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa dikenang dan dihargai sepanjang masa.
Sekian, terima kasih
|