PERUTUSAN HARI GURU 2005
Y. Bhg. Dato' Dr. Hj. Ahamad bin Sipon
Ketua PengarahPelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
"Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan"
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabrakatuh dan selamat sejahtera.
Guru-guru, murid-murid dan ibu bapa yang dihormati sekalian

Terlebih dahulu marilah kita sama-sama melafazkan ucapan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan rahmat-Nya kita dapat berhimpun untuk menyambut Hari Guru 2005 ini. Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna kepada semua guru kerana pada hari inilah kita mengenang, menghargai dan mengiktiraf pengorbanan dan sumbangan guru-guru kepada pembangunan negara. Tanggal 16 Mei juga merupakan hari untuk kita memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan dengan sama-sama merai'kan anugerah tokoh-tokoh guru peringkat kebangsaan. Sesungguhnya tanggal 16 Mei turut menarik perhatian Kerajaan dan rakyat kepada sumbangan, perkembangan dan kemajuan profesion keguruan. Maka dengan itu, saya menyeru guru-guru supaya sentiasa berusaha memelihara martabat profesion keguruan dan berusaha bersungguh-sungguh secara tekal untuk memperbaikinya.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Guru 2005 kepada semua guru di seluruh negara dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala usaha mendidik dan membimbing murid sehingga mereka menjadi murid yang cemerlang akademik dan kokurikulumnya dan berakhlak mulia. Saya mendoakan agar segala usaha dan bakti yang telah dicurahkan secara ikhlas itu, mendapat berkat dan mendatangkan kesan yang positif kepada pembangunan sistem pendidikan negara yang berkualiti dan bertaraf dunia. Saya turut berharap pencapaian murid dalam bidang akademik dan kokurikulum akan menjadi pendorong kepada guru untuk meningkatkan usaha memperbaiki pencapaian dari tahun ke setahun.

Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

2.0 GURU BERKUALITI PEMANGKIN KEGEMILANGAN

2.1 Tema Hari Guru tahun 2005 ini ialah, "Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan". Tema ini merupakan tema kepada Hari Guru tahun 2004. Kementerian Pelajaran telah memilih tema ini semula kerana mengiktiraf peranan, usaha dan sumbangan guru membentuk murid yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, dan bertanggungjawab. Tema ini turut memberi fokus kepada pembentukan kualiti diri guru yang unggul dalam konteks melengkapkan diri dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dan relevan untuk meningkatkan keupayaan menangani perubahan dan cabaran dengan cekap dan berkesan. Sesungguhnya guru yang berkualiti akan membentuk murid yang berkualiti, dan murid yang berkualiti akan menjadi warganegara yang akan membentuk negara menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang.

2.2 Kualiti merupakan sesuatu yang subjektif dan ia merujuk kepada darjah kecemerlangan, mutu atau sifat keunggulan. Dalam konteks membangunkan pendidikan berkualiti bertaraf dunia dan untuk membolehkan negara kekal kompetitif di persada antarabangsa maka kualiti perlu dibudayakan dalam sistem pendidikan negara secara berterusan dan menyeluruh. Dalam sistem persekolahan ia bermula dengan guru. Guru berkualiti ialah guru berwawasan dan bermatlamat. Guru yang rajin akan berusaha untuk meningkatkan kompetensinya dalam pelbagai bidang ilmu, pengetahuan, dan kemahiran. Guru ini memilih untuk mencapai darjah cemerlang, gemilang dan terbilang dalam kerjayanya.

Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

2.3 Perkembangan dan kemajuan dalam pendidikan tanah air mendesak guru menguasai pelbagai kemahiran generik, seperti, kemahiran berfikir, kemahiran mengguna dan mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, kemahiran belajar, dan kebolehan menguasai bahasa kedua dengan baik. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran sentiasa menganjurkan pelbagai kursus jangka pendek dan jangka panjang untuk guru. Latihan dalam perkhidmatan ini bukan sahaja membuka peluang kepada guru untuk meningkatkan penguasaan ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang saya sebutkan tadi malah merupakan laluan meningkatkan kerjaya perguruan mereka. Selain itu, saya menggesa agar amalan membaca aktif wajar menjadi amalan semua guru. Melalui amalan membaca, guru akan dapat mengikuti dan meneliti perkembangan-perkembangan terbaru dalam bidang pendidikan dan meningkatkan tahap profesionalisme diri.

2.4 Seperkara yang hendak saya tekankan ialah kepentingan jalinan semangat kerjasama dan permuafakatan antara sekolah, rumah dan komuniti. Dalam hal ini, guru berkualiti sewajarnya mampu memiliki kemahiran sosial dan interpersonal yang baik untuk menjayakan jalinan kerjasama tiga segi ini yang meliputi perhubungan dengan ibu bapa/ penjaga murid, dan ahli-ahli masyarakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan sekolah.

3.0 PENUTUP

Saya yakin para guru sekalian akan berupaya membuka minda mereka dan seterusnya minda anak-anak didik masing-masing untuk meneroka, mengkaji dan menguasai ilmu, pengetahuan dan kemahiran semasa seiring dengan kemajuan dunia dan sejajar dengan prinsip Islam Hadhari.

Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru pada tahun ini, mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia.

Sekian, saya sudahi dengan lafaz Wabillahitaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh.
Terima kasih.


Paparan terbaik 1024x768 pixel
Hakcipta © 2005 Kementerian Pelajaran Malaysia
Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.