Assalammualaikum
Warahmatullahi Wabrakatuh dan selamat sejahtera.
1. Alhamdullilah , bersyukur kita kepada ALLAH S.W.T. kerana dengan taufik dan hidayahNya, sekali lagi kita dapat menyambut perayaan Hari Guru pada tanggal 16 Mei , yang sangat bermakna kepada semua guru. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru di seluruh negara. Hari ini merupakan hari yang sangat sesuai untuk kita menzahirkan penghargaan kepada guru-guru yang tanpa jemu mendidik dan mengasuh murid-murid untuk menjadi insan yang sempurna seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
2. Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini, Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan adalah sesuai dengan sistem pendidikan yang bergerak pantas selaras dengan pembangunan negara. Pendidikan yang berkualiti bercirikan pembestarian sesungguhnya diyakini dapat menjana negara gemilang. Antara lain , fokus pendidikan bestari ialah pencarian ilmu secara akses kendiri, terarah kendiri dan kadar kendiri serta pengintergrasian pelbagai teknologi pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Saya percaya, peluasan konsep pendidikan bestari yang sedang dilaksanakan akan terus menjadi pemangkin kegemilangan pendidikan.
3. Saya percaya bagi peluasan pendidikan bestari semua guru perlu menyiapkan diri untuk menerima dan melaksanakan perubahan yang berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kurikulum, pengurusan sekolah, pentaksiran dan seumpamanya. Dalam melaksanakan peluasan pendidikan bestari ini, Kementerian Pelajaran akan terus berusaha untuk mengurangkan jurang digital dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dengan memberi keutamaan kepada peningkatan pelbagai program pendidikan termasuklah peningkatan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan pendidikan.
Guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian,
4. Dalam era globalisasi yang semakin mencabar ini, negara amat memerlukan modal insan berkualiti yang boleh menyumbang kepada kegemilangan negara. Dalam koteks ini, guru perlu menjadi pendidik yang sempurna dan berusaha membestarikan diri masing-masing dalam profesion yang mereka ceburi. Guru-guru juga perlu bersedia menerima perubahan dan dalam masa yang sama bersedia menjadi pemangkin kepada perubahan pendidikan yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran. Dalam hal ini saya menyeru agar para guru sentiasa bersedia untuk berubah dari satu tahap amalan kerja yang biasa ke suatu tahap yang berprestasi tinggi. Seruan ini sejajar dengan pesanan Lokman Al-Hakim yang menyatakan bahawa ada dua orang yang paling gagal dalam hidup, orang yang tidak cekap membuat apa yang disuruh dan orang yang hanya membuat apa yang disuruh.
5. Dalam usaha untuk menjadikan pendidikan bestari sebagai pemangkin kegemilangan, guru-guru tidak seharusnya mengabaikan penerapan eleman perpaduan ketika mendidik murid-murid. Sesungguhnya, sekolah adalah tapak semaian untuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Dalam konteks ini pelbagai program telah dirancang dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Maka manfaatkanlah segala program yang ada untuk memastikan sistem pendidikan di negara mampu menjadi wahana perpaduan yang gemilang.
6. Saya juga ingin menyeru semua warga guru supaya berusaha menjadi lebih inovatif, proaktif dan mampu mencipta kelainan yang boleh memberi manfaat kepada murid-murid. Saya amat yakin bahawa seluruh warga guru mampu menjadi guru yang berkualiti dan mencapai kegemilangan pendidikan. Percayalah bahawa kegemilangan yang kita hasratkan bukanlah suatu yang mustahil untuk dicapai.
7. Akhir kata, sempena sambutan hari guru pada tahun ini saya sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia.
Sekian saya sudahi dengan lafaz Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.
Terima Kasih. |