|
Kami,
guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan
ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang
berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan,
yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran
dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang dan yang percaya
kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan Prinsip-Prinsip
Rukun Negara.
Melalui
pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami
kebudayaan mereka, memperolehi pengetahuan yang telah terkumpul
sejak zaman berzaman, dan menyediakan mereka untuk menghadapai
cabaran pada masa hadapan.
Dengan
menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak
muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan
ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan untuk
membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf
kesusilaan yang setinggi-tinggnya.
I.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
1.
Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami
daripada hal-hal lain.
2.
Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira
faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi,
sosial, keturunan atau agama.
3.
Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar
kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4.
Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah
sendiri atau dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar
di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
5.
Menunjukkan satu cara pakaian, pertuturan dan tingkahlaku
yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.
6.
Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian,
lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat
atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.
II. TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU
BAPA
1.
Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak
mereka.
2.
Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat
di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga.
3. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa
mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai
sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali
kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4.
Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak
mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada
ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
5.
Mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh
kedudukan sosial dan eknonomi ibu bapa pelajar.
6.
Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan
sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap
ibu bapa atau penjaga mereka.
III.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
1.
Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang
boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat, negara
atau pun yang bertentangan dengan Rukun Negara.
2.
Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh
membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara
yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati
adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
3.
Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi
segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa
sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
4.
Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan
ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
5.
Memberi sumbangan cergas untuk meningkatkan kehidupan moral,
kebudayaan dan kecendekiawan masyarakat.
6.
Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh
masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik.
IV.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION KEGURUAN
1.
Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau
ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di
hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang
boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
2.
Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan
kecekapan kami sebagai guru.
3.
Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab
kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan
sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
4.
Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya
mereka yang beru dalam profesion keguruan.
5.
Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama
baik profesion keguruan.
6.
Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.
CATATAN:
Guru yang dimaksudkan dalam konteks tatasusila
ini ialah orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah
institusi peringkat rendah, menengh dan tinggi, termasuk
guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi
dan penyeliaan pendidikan.
|