(Tarikh kemaskini : 16 Dis. 2008) KURSUS PELAKSANAAN SISTEM PENGURUSAN KUALITI (SPK) MS ISO 9001:2008 Pada 18-19 Disember 2008, Kursus Pelaksanaan SPK akan diadakan di Auditorium BTP. Kursus ini akan dihadiri oleh wakil pengurusan BTP & BTPN bersama pegawai-pegawai yang terlibat dari BTP & BTPN. Kursus akan diberi oleh Tuan Haji Dzulkifli bin Hamzah, Consultant SIRIM QAS Sdn. Bhd. Antara tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memantapkan kefahaman SPK mengikut versi terbaru MS ISO 9001:2008. Selanjutnya.
(Tarikh kemaskini : 18 Nov. 2008) LATIHAN PENGUNSIAN BANGUNAN Pada 13 November 2008, jam 9.15 pagi satu latihan menyelamatkan diri daripada bahaya kebakaran atau latihan pengunsian bangunan telah diadakan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan, Bahagian Teknologi Pendidikan dengan kerjasama Pasukan Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas. Ini merupakan latihan kedua bagi tahun 2008 dan diadakan bagi membiasakan para pegawai BTP mengambil tindakan apabila kecemasan berlaku di Kompleks BTP. Latihan ini diakhiri dengan demo penggunaan alat pemadam api dengan betul oleh pihak bomba. Muat Turun Klip Video Latihan Fire Drill BTP
(Tarikh kemaskini : 14 Nov. 2008) MESYUARAT PASUKAN PETUGAS KUALITI BTPN BIL. 3/2008 Mesyuarat telah berlangsung dari 10 hingga 13 November 2008 di BTPN Pahang. Ahli mesyuarat terdiri daripada Wakil Pengurusan dan Pengurus Kualiti setiap negeri. Mesyuarat turut dihadiri oleh Tn. Hj. Rosland bin Hussein, Timbalan Pengarah Pembangunan Pendidikan Bestari, Puan Lucia Quek Sai Gearn, Ketua Penolong Pengarah Sektor Q, Dr. Suhaimi bin Kadir, Ketua Unit Penyelarasan BTP-BTPN-PTPB-PKG dan dua orang pegawai dari Sektor Q BTP sebagai urus setia. Baca Lagi.
(Tarikh kemaskini : 17 Okt. 2008) PERHIMPUNAN BULANAN BTP - OKT 2008, HARI KUALITI DAN SAMBUTAN AIDILFITI Perhimpunan bulanan BTP telah diadakan pada 14 Oktober 2008 dibawah kelolaan Sektor Pembangunan Pelbagai Media dengan tema "Multimedia Berkualiti, P&P Bererti". Perhimpunan kali ini agak istimewa kerana turut diadakan bersama dengan sambutan Hari Kualiti dan Majlis Hari Raya. Antara aktiviti yang dilangsungkan adalah penyampaian sijil, hadiah dan cenderamata Hari Q BTP/BTPN dan majlis turut dimeriahkan dengan persembahan klip video ucapan hari raya, persembahan dan penyampaian hadiah persembahan hari raya. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kerjasama semua pihak yang telah menjayakan Perhimpunan Bulanan, Hari Kualiti dan sambutan Aidilfitri BTP. Senarai penuh pemenang dan penerima anugerah/pertandingan sempena sambutan Hari Q BTP 2008
(Tarikh kemaskini : 13 Okt. 2008) LAWATAN PENANDAARASAN 5S Lawatan Penandaarasan Program 5S ke Tabung Baitulmal Sarawak telah diadakan pada 23 September 2008 mulai jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Seramai 20 orang pegawai dari BTP telah menyertai lawatan tersebut termasuk Pengarah dan Ketua-ketua Penolong Pengarah Sektor BTP. Lawatan bertujuan menanam sikap sentiasa berusaha ke arah penambahbaikan berterusan dan mengamalkan konsep pembelajaran melalui perkongsian ilmu dengan agensi lain. Baca lagi.
(Tarikh kemaskini : 13 Okt. 2008) KONVENSYEN PUSAT KEGIATAN GURU (PKG) 2008 KALI KE-7 Konvensyen PKG Peringkat Kebangsaan tahun 2008 kali ke-7 telah diadakan pada 6 hingga 8 Oktober 2008 di Seremban, Negeri Sembilan. Seramai lebih kurang 500 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai BTP, BTPN, PTPB dan PKG menghadiri konvensyen yang dirasmikan oleh Y.B. Dato' Razali bin Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran. Tema konvensyen kali ini ialah 'PKG Perkasa Generasi Bestari'. Sebanyak sebelas kertas kerja dibentang termasuk satu kertas oleh Drs. Achmad Dasuki, Pengarah Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Indonesia. Semua kertas kerja boleh dimuat turun melalui portal rasmi konvensyen.
(Tarikh kemaskini : 9 Sept. 2008) KARNIVAL PEMBESTARIAN SEKOLAH Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), sebagai agensi utama program Pembestarian Sekolah Malaysia Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengadakan Karnival Pembestarian Sekolah buat julung kalinya di Jempol, Negeri Sembilan. Karnival telah berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos 2008 di Kompleks Rakan Muda Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan. Karnival tersebut telah dikunjungi lebih kurang 1,500 orang, kebanyakannya dari kalangan guru dan murid. Baca lagiGambar
(Tarikh kemaskini : 27 Ogos 2008) PERHIMPUNAN BULANAN BTP - OGOS 2008 Perhimpunan Bulanan BTP bagi Bulan Ogos 2008 telah diadakan pada 26 Ogos 2008 bertempat di Auditorium BTP. Perhimpunan kali ini dikelolakan oleh Sektor Perkhidmatan Sokongan ICT (PSI). Majlis perhimpunan ini diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Dr.Haili Bin Dolhan; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Kementerian Pelajaran Malaysia. Tema perhimpunan kali ini ialah "PERPADUAN TERAS KEJAYAAN", sempena tema Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke-51. Tuan Haji Mohd. Adenan Bin Deraman, Pengarah BTP menegaskan perpaduan adalah tunjang kecemerlangan sesebuah organisasi dan meminta setiap warga BTP menguatkan tekad untuk mengekalkan perpaduan. Sementara itu, Dr. Haili meminta warga BTP bersatu padu, mempunyai keyakinan diri yang tinggi, berpegang teguh kepada nilai agama, moral dan etika, menikmati kehidupan yang demokratik, liberal, progresif, mampu bersaing, tangkas dan berdaya tahan. Beliau memberi contoh amalan hari keluarga adalah amalan yang dapat mengeratkan perpaduan dan setiakawan dalam kalangan warga sesebuah organisasi. Dr. Haili juga sudi menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2007 kepada pegawai dan kakitangan BTPN dan PKG seluruh negara. Tahniah kepada semua penerima anugerah. Puan Hajah Marina Bt Mahayudin, KPP PSI merangkap pengerusi perhimpunan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Haili kerana sudi ke majlis ini. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua sektor BTP yang terlibat bagi menjayakan majlis perhimpunan ini.
(Tarikh kemaskini : 26 Jun 2008) LAWATAN ALUMNI ETV-BTP KE KOMPLEKS BTP SEMPENA ULANGTAHUN ETV PADA 19 JUN 2008 Seramai 50 orang ahli Alumni BTP (bekas staf ETV-PSP-BTP) telah disambut oleh Tn. Hj. Mohd. Adenan bin Deraman, Y. Bhg Pengarah BTP dan staf BTP di Kompleks BTP, Bukit Kiara pada 19 Jun 2008, sempena Hari Ulang Tahun Pelancaran ETV ke-36. BTP merasa amat bertuah kerana kunjungan bersejarah ini. Diharap BTP dan Alumni mengadakan lebih banyak aktiviti untuk menjalin hubungan rapat yang lebih bermakna.
(Tarikh kemaskini : 13 Jun 2008) SELAMAT DATANG KEPADA PENGARAH BARU BTP Pihak pengurusan dan seluruh warga BTP mengucapkan selamat datang kepada Pengarah baru BTP iaitu Tuan Haji Mohd. Adenan bin Deraman. Selamat datang dan selamat bertugas Tuan Haji. Berikut merupakan atur cara penting Pengarah BTP:
13 Jun 2008:
1. 10.00 pagi - Perjumpaan bersama Y.Bhg. Dr Azmi di Pejabat Menteri 2. 11.00 pagi - Majlis nota Serah Tugas Pengarah di BTP
16 Jun 2008:
1. 7.45 pagi - Timb. Pengarah Teknologi Pendidikan, Timb. Pengarah Pendidkan Bestari,Semua KPP Sektor dan EO berada di Foyer BTP. 2. 7.55 pagi - Ketibaan Pengarah dan terus ke Punch Card di Pejabat Pengarah. 3. Rehat 10 Minit di Bilik Pengarah bersama T.P. Teknologi Pendidikan, T.P. Pendidikan Bestari. 4. KPP bersiap untuk taklimat di Bilik Kiara. 5. 8.20 pagi - Taklimat Sektor-sektor. 6. 11.00 pagi - Lawatan sekitar BTP dan sesi bergambar di Studio Fotografi.
(Tarikh kemaskini : 17 Jun 2008) MAJLIS MERAIKAN KENAIKAN PANGKAT DR. SALBIAH Pada 13 Jun 2008, pihak pengurusan dan seluruh warga BTP serta rangkaian telah meraikan bekas Pengarah BTP, Dr. Salbiah binti Ismail atas lantikan kenaikan pangkat beliau dan menjawat jawatan sebagai Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Kementerian Pelajaran Malaysia. Pihak pengurusan, warga BTP serta rangkaian mengucapkan tahniah atas lantikan itu. Selamat bertugas di tempat baru, Dr. Salbiah.
(Tarikh kemaskini : 5 Jun 2008) LANTIKAN TIMBALAN PENGARAH PEMBANGUNAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN, BTP Tahniah dan syabas diucapkan kepada Dr. Masnah binti Ali Muda atas pelantikan sebagai Timbalan Pengarah, Pembangunan Teknologi Pendidikan mulai 1 Jun 2008 daripada seluruh warga BTP. Selamat menjalankan tugas.
(Tarikh kemaskini : 7 Julai 2008) LAWATAN KERJA TKPPM SEKTOR DASAR DAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN KPM Pada 8 Julai 2008, pihak pengurusan dan seluruh warga BTP berbesar hati menerima kunjungan Y.Bhg Dr. Haili Bin Dolhan, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Kementerian Pelajaran Malaysia ke BTP. Y.Bhg Dr. Haili akan diberi taklimat berkenaan perkembangan BTP oleh pihak Pengurusan di samping melakukan lawatan ke beberapa sektor.
(Tarikh kemaskini : 4 Julai 2008) LAWATAN RASMI PENGARAH BTP KE BTPN PERLIS Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan pada 1 Julai 2008 bertempat di Bilik Pulai 1. Tuan Hj. Mohd Adenan bin Deraman , Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan bersama Pn. Lucia Quek Sai Gearn, Ketua Sektor Penetapan dan Kawalan Mutu turut hadir bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil MS ISO 9001:2000 versi 2 yang telah diperoleh oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis pada 23 Jun 2008.
(Tarikh kemaskini : 12 Ogos 2008) PERHIMPUNAN BULANAN BTP - JULAI 2008 Perhimpunan bulanan BTP untuk bulan Julai 2008 telah diadakan pada hari Isnin 28 Julai 2008. Perhimpunan bulanan yang bertemakan ”Perubahan Demi Kecemerlangan” telah dikelolakan oleh Sektor Intervensi ICT (IICT). Encik Ibrahim bin Mohamed, KPP IICT, merangkap Pengerusi Pengelola Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Julai 2008 dalam ucapan alu-aluannya telah menjelaskan bahawa tema “Perubahan Demi Kecemerlangan” dipilih berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang dilalui di peringkat BTP seperti kehadiran Pengarah BTP yang baru dan pertukaran nama beberapa sektor. Tuan Haji Mohd. Adenan bin Deraman, Pengarah BTP dalam amanatnya pula turut menyentuh dan memperkenalkan kepada warga BTP tentang nama-nama sektor yang telah berubah demi memantapkan lagi organisasi BTP.
Warga BTP turut dimaklumkan berkenaan pegawai dan staf yang telah berhijrah dan baru menyertai BTP sepanjang bulan Julai 2008. Ini termasuklah Tuan Haji Paridin bin Jais, mantan KPP BTPN Johor yang kini memulakan tugas sebagai KPP Sektor Promosi dan Inovasi Teknologi Pendidikan (PITP). Warga BTP turut mengucapkan tahniah kepada Tuan Haji Mohamad Razali bin Haji Bakar, KPP BTPN Perak dan Tuan Haji Ishak bin Mahbob, KPP BTPN Johor atas perlantikan mereka sebagai peneraju baru di BTPN dua negeri tersebut.
Perhimpunan turut meraikan warga BTP yang lahir dalam bulan Julai serta Encik Abdullah bin Ahmad, Pegawai Teknologi Pendidikan dari Sektor PITP yang memilih untuk bersara secara pilihan mulai 1 Ogos 2008.
Selamat maju jaya kepada semua warga BTP, semoga sentiasa positif dan menemui kejayaan dalam menghadapi perubahan demi kecemerlangan organisasi.
(Tarikh kemaskini : 3 Julai 2008) PERHIMPUNAN BULANAN DAN MAJLIS PERSARAAN TUAN HAJI JAMALUDDIN B. MAT Pada 27 Jun 2008, telah diadakan Perhimpunan Bulanan BTP bagi Bulan Jun 2008. Warga BTP telah berhimpun untuk mendengar amanat yang diberikan oleh Pengarah baru BTP, Tuan Haji Mohd Adenan B Deraman. Dalam perhimpunan itu juga diadakan Majlis Persaraan KPP Sektor Penyelidikan dan Galak Guna Bahan Pendidikan (P&G) iaitu Tuan Haji Jamaludin B Mat. Pihak pengurusan, warga BTP serta rangkaian mengucapkan selamat bersara kepada Tuan Haji Jamaludin.
(Tarikh kemaskini : 3 Julai 2008) PENSIJILAN MS ISO 9001:2000 Pada 26-27 Jun 2008, BTPN Selangor telah diiktiraf oleh SIRIM sebagai organisasi yang melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti. Tahniah dan syabas kepada KPP dan semua warga BTPN Selangor kerana telah menjadi BTPN ke-14 diiktiraf oleh SIRIM untuk pensijilan MS ISO 9001:2000. Syabas! Ucapan tahniah juga kepada BTPN Perlis yang telah berjaya melepasi audit oleh SIRIM pada bulan Jun 2008 dengan Penambahan 2 Skop iaitu Pengurusan Perkhidmatan dan Pentadbiran dan Pengurusan Kewangan. Ini juga bermakna BTPN Perlis merupakan BTPN yang pertama menambah skop pensijilan MS ISO. Syor Pensijilan MS ISO 9001:2000 ini telah menunjukkan komitmen dan kerjasama yang tinggi semua warga BTPN dalam perlaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti di BTPN.
(Tarikh kemaskini : 27 Mei 2008) LAWATAN RASMI KE BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN Pada 26 Mei 2008, BTP telah menerima lawatan rasmi daripada 45 orang guru Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. Tujuan lawatan ini adalah untuk meminta BTP memberi taklimat mengenai Penerapan Teknologi Pendidikan Dalam Pengajaran & Pembelajaran. Rombongan tiba pada jam 9.00 pagi dan disambut oleh En. Humaidi bin Saad, pegawai dari Unit Perhubungan Awam (PA). Ahli rombongan telah dibawa ke Auditorium untuk tayangan Video Korporat BTP. Taklimat lawatan telah disampaikan oleh En. Humaidi dan diikuti dengan satu taklimat khas yang disampaikan oleh Y.Bhg. Datin Che Normadiah bt. Hj. Che Abbas. Selepas itu ahli rombongan dibawa melihat sekitar BTP oleh Pn. Fadzilah bt. Mohd Rashid, pegawai Unit PA.
HARI BERTEMU PELANGGAN KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BULAN APRIL 2008 Program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pelajaran Malaysia (HPB KPM) bagi Bulan April 2008 telah diadakan di Melaka Mall pada 25 hingga 28 April 2008. Perasmian Program HBP KPM Bulan April 2008 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia , Y.Bhg. IR Dr. Wee Ka Siong dengan dimulakan bacaan doa dan diikuti oleh persembahan tarian oleh Kumpulan Budaya dari SMK Tun Teja. Selepas majlis perasmian, IR Dr. Wee Ka Siong dibawa melawat ke gerai-gerai HBP KPM. Gerai BTP menerima seramai 769 orang pengunjung untuk kedua-dua hari berkenaan. Gambar semasa Program Hari Bertemu Pelanggan KPM
(Tarikh kemaskini : 14 Mei 2008) SAMBUTAN HARI GURU 2008 Tanggal 16 Mei 2008, sekali kali sambutan Hari Guru diraikan di seluruh negara. Kali ini, sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan diadakan di Melaka. Pelbagai aktiviti menarik telah diatur untuk pihak penganjur bermula pada 14 Mei dan berakhir pada 16 Mei 2008. Aktiviti kemuncak adalah Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru 2008 dengan kehadiran tetamu utama ialah YAB Perdana Menteri Malaysia di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh. Selamat Hari Guru. "Guru Cemerlang, Negara Terbilang". Lihat senarai penuh aktiviti
(Tarikh kemaskini : 14 Mei 2008) LAWATAN RASMI KE BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN Pada 13 Mei 2008, Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) telah menempa sejarah kerana menerima beberapa lawatan rasmi dari delegasi Kementerian Pelajaran dalam dan luar negara. Pada jam 1 petang, Timbalan Menteri Pelajaran iaitu YB Dato' Razali bin Ismail telah sudi mengadakan lawatan rasmi ke BTP dan telah diberi taklimat oleh pihak Pengurusan BTP. Sejam kemudian, pada pukul 2.00 petang, BTP telah dikunjungi oleh delegasi Kementerian Pelajaran Korea yang disambut mesra oleh pihak pengurusan dan pegawai-pegawai BTP. Pada masa yang sama juga, BTP turut mengalu-alukan kedatangan YB. Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia, Y.Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Hj. Awang, Ketua Setiausaha KPM, Y. Bhg. Dato' Hj. Alimuddin bin Hj. Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia bagi menghadiri mesyuarat bersama Kesatuan-Kesatuan Guru Malaysia. Seluruh warga BTP merasa bangga dan mengucapkan terima kasih atas kesudian kesemua delegasi Kementerian Pelajaran Malaysia dan Korea mengadakan kunjungan rasmi ke BTP.
PERHIMPUNAN BULANAN BTP & MAJLIS PERSARAAN TIMBALAN PENGARAH PEMBANGUNAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN Dengan tema “Baca@Ilmu” Perhimpunan Bulanan BTP telah berjaya diadakan pada 5 Mei 2008 dibawah kelolaan Sektor Pengurusan Sumber Pendidikan. Perhimpunan kali ini agak istimewa kerana turut diselitkan dengan taklimat khas daripada Jabatan Bomba & Penyelamat yang telah disampaikan oleh Tuan Zakaria bin Muhd, Pegawai Penguasa Bomba. Disamping itu, turut diadakan Majlis Persaraan Timbalan Pengarah Pembangunan Teknologi Pendidikan, Dr. Faridah binti Mohamed yang bersara wajib setelah berkhidmat dalam bidang pendidikan selama 31 tahun. Seluruh warga BTP mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada beliau dan berharap agar Dr. Faridah terus mencurahkan bakti kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan.
(Tarikh kemaskini : 21 April 2008) TAHNIAH : BTP KEKAL PENSIJILAN MS ISO 9001:2000 Pada 18 April 2008, jam 4.30 petang, BTP telah disyorkan untuk meneruskan pensijilan MS ISO 9001:2000 tanpa sebarang perubahan. BTP telah diaudit sepanjang hari oleh 3 orang juruaudit daripada SIRIM QAS Sdn. Bhd. dengan keputusan - Tiada NCR dan diberi 5 OFI sahaja. Semoga kejayaan ini menjadi pendorong kepada semua warga BTP untuk terus mengekalkan budaya kerja berkualiti di BTP. Tahniah dan terima kasih kepada semua pegawai yang terlibat.
(Tarikh kemaskini : 11 April 2008) AUDIT SURVEILLANCE KE-2 OLEH SIRIM QAS SDN. BHD. TERHADAP BTP Audit oleh pihak SIRIM akan diadakan pada 18 April 2008. Seramai 3 orang juruaudit SIRIM akan turun padang untuk mengaudit Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) BTP serta 4 skop utama (PKP) dan 10 skop sokongan (PKPS). Selamat Maju Jaya kepada semua warga BTP terutamanya auditee-auditee yang akan diaudit.
(Tarikh kemaskini : 11 April 2008) MESYUARAT KAJIAN SEMULA PENGURUSAN BTP (MKSP) MKSP BTP telah diadakan pada 25 Mac 2008 dan dipengerusikan oleh Y Bhg. Dr. Pengarah. Mesyuarat dihadiri oleh semua ahli mesyuarat pengurusan serta pengurus-pengurus dokumen BTP. Mesyuarat bermula 9.00 pagi dan ditangguhkan pada 5.30 petang.
(Tarikh kemaskini : 28 Mac 2008) PERSIDANGAN & PAMERAN ICT SEMPENA SEAMEO COUNCIL CONFERENCE KE 43 DAN MESYUARAT ASED KE 3 Pameran ICT bersempena SEAMEO Council Conference Ke-43 dan Mesyuarat ASED Ke-3 telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 Mac 2008. Pameran yang diurus setiakan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ini bertemakan 'ICT in Teaching and Learning'. Dalam pameran ini pelbagai showcase dipamerkan, antaranya ialah PIPP, Pembestarian Sekolah, Penanda Aras 88 buah Sekolah Bestari dan Sistem SSQS. Sebanyak sebelas rakan kongsi KPM juga turut memperlihatkan program-program perkongsian pintar di sekolah. Disamping itu terdapat juga pelbagai agensi bukan kerajaan, pihak swasta, sekolah swasta dan universiti mengambil bahagian dengan mempamerkan program berasaskan inisiatif, inovasi dan kualiti dalam ICT untuk pendidikan. Kementerian Pengajian Tinggi juga turut serta dalam showcase Pelan Strategik Pengajian Tinggi yang melibatkan kolaborasi melalui konferensi video antara pelajar di institusi pengajian tinggi. Penyertaan sebanyak 13 buah negara yang terdiri dari negara anggota SEAMEO, SEAMEO Associate dan SEAMEO Centre turut mempamerkan Modul Pengajaran dan Pembelajaran. Pelancaran pameran ini telah disempurnakan oleh Y.B. Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan majlis penutup oleh Y.B. Datuk Mustapa Mohamed.
(Tarikh kemaskini : 25 Februari 2008) TAHNIAH BTPN JOHOR Syabas BTPN Johor kerana telah berjaya melepasi audit pematuhan peringkat kedua oleh SIRIM QAS Sdn. Bhd. dengan keputusan 2 NCR dan 9 OFI. Warga BTP mengucapkan tahniah kepada KPP BTPN Johor, Tuan Haji Paridin dan semua warga BTPN Johor atas kejayaan mendapat syor pensijilan MS ISO 9001:2000 daripada SIRIM QAS Sdn. Bhd.
(Tarikh kemaskini : 12 Februari 2008) e-Al QAMUS ELEKTRONIK TRIBAHASA PERTAMA DI MALAYSIA Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) telah melancarkan produk terbarunya, e-Al Qamus. Kamus elektronik ini merupakan kamus istilah on-line yang pertama seumpamanya diterbitkan dan dibangunkan oleh Sektor Pembangunan Pelbagai Media, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Pelancaran e-Al Qamus ini telah disempurnakan oleh Y.A.B Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Sekolah Rendah Padang Garong 2, Kota Bharu, Kelantan, pada 25 September 2007 bersempena Majlis Perasmian Makmal Pembelajaran j-QAF.
(Tarikh kemaskini : 4 Februari 2008) TAHNIAH DAN SELAMAT DATANG TIMBALAN PENGARAH PEMBANGUNAN PENDIDIKAN BESTARI, BTP Tahniah dan syabas diucapkan kepada Tuan Haji Rosland bin Hussein atas lantikan sebagai Timbalan Pengarah, Pembangunan Pendidikan Bestari daripada seluruh warga BTP. Selamat menjalankan tugas.
MESYUARAT PEMANTAPAN SASARAN KERJA TAHUNAN (SKT) 2008 Mesyuarat Pemantapan SKT 2008 telah diadakan pada 22 dan 24 Januari 2008 bertempat di Bilik Mesyuarat, BTPN Selangor. Mesyuarat ini adalah mesyuarat susulan dari Mesyuarat SKT yang telah diadakan di Hotel Crystal Crown, Kepong pada bulan Disember yang lalu. Dalam mesyuarat ini, semua sektor BTP telah membentangkan SKT berdasarkan fungsi sektor masing-masing. Mesyuarat ini juga turut di hadiri oleh KPP BTPN Selangor, Tuan Hj. Ahmad Dahlan bin Kardi dan KPP BTPN Johor, Tuan Hj.Paridin bin Jais dan beberapa orang pegawai PKG. Pengarah BTP, Yg. Bhg. Dr. Salbiah bt. Ismail juga turut hadir pada hari terakhir mesyuarat tersebut.
TAHNIAH UNTUK BTPN MELAKA BTPN Melaka telah berjaya melepasi audit pematuhan oleh pihak SIRIM QAS Sdn. Bhd. yang telah dijalankan dari 22-23 Januari 2008 tanpa NCR. Sehubungan dengan itu, BTPN Melaka telah disyorkan dengan pensijilan MS ISO 9001:2000 oleh pihak SIRIM. Warga BTP mengucapkan tahniah kepada KPP BTPN Melaka, Tn. Hj.Mohd Nor bin Abu, Wakil Pengurusan, Pasukan Q, semua warga BTPN Melaka dan juga Unit Audit Kualiti BTP yang telah memberi komitmen dan kerjasama yang tinggi dalam menjayakan perjalanan audit ini.
PERHIMPUNAN BTP BULAN JANUARI 2008 Perhimpunan Bulanan BTP Bulan Januari 2008 telah diadakan di Auditorium BTP pada Hari Jumaat yang lalu, 18 Januari 2008. Perhimpunan BTP kali ini diurus setiakan oleh Sektor Pengurusan Kualiti dan Rangkaian bertemakan `Kualiti Pencetus Kecemerlangan BTP'. Pengarah BTP, Yg. Bhg. Dr. Salbiah bt. Ismail dalam perutusan tahun barunya menegaskan perlunya warga BTP meningkatkan upaya untuk menjadikan BTP sebuah organisasi yang berjaya membawa visi dan misi nasional. Beliau juga menyeru supaya tahun 2008 yang akan dilalui akan memacu pendidikan negara menerusi pembestarian sekolah. Ucapan KPP Q&R
Dari Meja Pengarah
(Tarikh kemaskini : 2 Jan. 2009) ASSALAMUALAIKUM,
"Salam Hijrah dan Selamat Tahun Baru 2009. Semoga seluruh warga BTP sehingga ke PKG berada dalam suasana sihat walafiat dan telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran 2009. Bertepatan dengan tema perhimpunan bulanan baru-baru ini past experience for future excellence, marilah kita menggembeling tenaga bagi memacu BTP ke arah lebih cemerlang. Kita percaya, pengalaman masa lalu adalah pengajaran untuk kita menghadapi masa akan datang. Kita tingkatkan produktiviti kita, kualiti kerja kita dan pastikan semua pelanggan kita berpuashati dengan perkhidmatan yang kita berikan. Kita tahu, sepanjang tahun 2008 ada beberapa aktiviti yang tidak dapat dilaksanakan akibat dari beberapa kekangan. Namun dalam masa yang sama, kita telah dapat melaksanakan beberapa aktiviti lain yang tidak ada di dalam takwim kita. Aktiviti itu ternyata sangat berkesan dan terlaksana dengan baik sekali. Paling utama kita teruskan budaya kerja cemerlang , mementingkan masa, tidak bertangguh dan menilai diri kita kembali agar kita tidak mengulangi kesilapan masa lalu. Selamat tahun baru dan selamat maju jaya." PAST EXPERIENCE FOR FUTURE EXCELLENCE