PERUTUSAN Y.BHG. DATO' HAJI YUSOFF BIN HARUN PENGARAH BTP Sempena MAJLIS PERHIMPUNAN BULAN JANUARI 2007 BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN 9 Januari 2007 Terima kasih, pengerusi majlis Bismillahirahmanirhim Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh dan Selamat Sejahtera. Yang Berusaha, Puan Hajah Saliyah binti Haji Ahmad, Timbalan Pengarah Pembangunan Teknologi Pendidikan
Yang Berusaha Puan Lucia Quek, Ketua Penolong Pengarah Sektor Jaminan Kualiti Selaku Pengerusi Pengelola Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Januari 2007. Ketua-ketua Penolong Pengarah BTP dan PSPN. Ketua-ketua Unit, Penolong Penolong Pengarah, Pegawai-pegawai Teknologi Pendidikan, Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi. Syukur alhamdulilah kerana dengan izin dan limpahNya kita dipanjangkan umur untuk melangkah ke tahun baru, tahun 2007. Kita juga bersyukur kerana sama-sama dapat berkumpul dalam Perhimpunan Bulanan pertama bagi tahun ini Sepanjang tahun 2006, Bahagian Teknologi Pendidikan telah melaksanakan pelbagai program untuk membudayakan penggunaan teknologi di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Antara pencapaian yang boleh dipuji adalah. Pengiktirafan MS ISO 9001:2000 oleh SIRIM QAS, wakil International Organisation of Standards yang beribu pejabat di Geneva. Pengiktirafan ini bermakna bahawa bermulanya detik yang BTP bukan sahaja perlu sentiasa mematuhi dan mengamalkan prosedur-prosedur yang telah kita daftarkan, tetapi perlu menambah baik proses-proses kerja dan kualiti perkhidmatan kita secara sistematik dan berterusan. Saya memohon supaya semua warga BTP untuk meneliti , memahami dan menghayati Manual Kualit kita dan jangan biarkan Manual Kualiti tersebut tinggal sebagai satu dokumen sejarah di atas meja KPP. Sektor Jaminan Kualiti diminta untuk memastikan Manual Kualiti tersebut boleh dibaca oleh semua warga BTP. Saya difahamkan bahawa Sektor Jaminan Kualiti akan memasang dokumen tersebut dalam sistem pengurusan dokumen BTP dan boleh dicapai oleh semua warga BTP melalui internet mulai minggu depan. Bahagian Teknologi Pendidikan telah dipertanggungjawabkan oleh KPM untuk menyelaras pembangunan pusat akses di sekolah-sekolah di Malaysia. Sepanjang tahun 2006, kita telah berjaya membangunkan 1584 pusat akses. Ini boleh dianggapkan sebagai satu pencapaian yang baik memandangkan tempoh masa yang singkat (3 bulan) untuk membangunkan pusat akses. Syabas saya ucapkan kepada semua warga yang terlibat termasuk pembantu am rendah yang menghantar surat-surat yang berkaitan. Syabas juga saya ucapkan kepada mereka yang terlibat dalam kerja-kerja konfigurasi 1229 buah makmal pengkomputeraan. Projek ini juga diberi kepada BTP selepas dimulakan oleh bahagian lain, dan dalam masa yang singkat (3 bulan), pasukan konfigurasi rangkaian ini yang telah diberi latihan intensif dapat melaksanakan kerja-kerja konfigurasi disekolah-sekolah. Kejayaan pasukan konfigurasi melaksanakan projek ini menunjukan kebolehan pegawai-pegawai kita untuk menghadapi dan sebarang dugaan dan cabaran. Pada tahun 2006, BTP telah membangunkan 292 judul e-Bahan untuk kegunaan di sekolah-sekolah. Berjuta-juta ringgit peruntukan kerajaan telah diperuntukkan untuk pembangunan perisian ini. Walau bagaimanapun penggunaan perisian ini masih rendah dan kita perlu mengkaji dan fikirkan langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan ini. BTP telah menerbitkan 276 rancangan TV Pendidikan pada tahun lepas. Rancangan-rancangan ini yang disiarkan melalui ASTRO telah dapat membantu pelajar-pelajar yang mengikuti siaran. Kepakaran penerbit dan staf teknikal diiktiraf oleh agensi penyiaran antarabangsa. Pada awal tahun 2006, Kursus Penerbitan Rancangan TV Pendidikan yang dikendalikan oleh penceramah dari Duestsche Welle Television Training Centre, di negeri German, telah menggunakan kemudahan dan kepakaran penerbit dan staf teknikal di BTP untuk menganjurkan kursus tersebut. Untuk tempoh sebulan, pegawai dan staf kita bantu melatih peserta kursus dari Sri Lanka, Vietnam, dan Kampucea dan berkongsi pengalaman mereka dengan peserta kursus dan penceramah dari luar negara. Pakatan kerjasama ini telah berjaya membawa nama BTP kepada tahap yang lebih tinggi dan menjadi BTP sebagai pusat latihan penerbitan rancangan pendidikan. Pada tahun tahun 2006, sejumlah buku yang berharga RM23 juta telah dibekalkan kepada semua sekolah. Pembekalan ini telah meningkatkan bilangan buku bacaan di sekolah dan mendekatkan nisbah murid kepada buku kepada 1 nisbah 15 di sekolah rendah dan 1 nisbah 20 di sekolah menengah. Bahagian Teknologi Pendidikan juga berjaya menganjurkan Anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan dan Kem Penulis Muda pada tahun lepas. Walaupun demikian, saya berharap acara tersebut diselaraskan dengan lebih rapi dan penglibatan jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian lain KPM ditingkatkan agar kita tidak dituduh sebagai "Siok sendiri sahaja". Sepanjang tahun 2006, pelbagai kursus dan latihan untuk meningkatkan kompetensi pegawai-pegawai BTP dan rangkaian. Seramai 539 pegawai BTP, PSPN dan PKG telah menerima pengiktirafan industri iaitu sama ada Microsoft Certified Profesional dan Microsoft Certified Desktop Technician. Saya berharap kursus-kursus yang mendapat pengiktirafan industri diberikan penekanan dan pegawai-pegawai yang terlibat tidak membazirkan peluang untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut. Sektor Latihan perlu pastikan hanya pegawai-pegawai yang betul-betl berpotensi sahaja dihantar untuk kursus-kursus demikian agar tidak membazir. Bahagian Teknologi Pendidikan juga telah berjaya menganjurkan Anugerah Pusat Sumber Sekolah Cemerlang. Sama seperti anugerah Tokoh NILAM Kebangsaan yang hanya melibatkan pegawai PSP sahaja, saya berharap semua jabatan dan bahagian-bahagian lain KPM dilibatkan dalam program ini. Sektor-sektor lain yang akan menganjurkan acara yang sama diingatkan supaya membuat perancangan yang rapi dan libatkan semua jabatan dan bahagian lain di KPM. Sepanjang 2006, BTP telah merancang pengstrukturan semula BTP dan rangkaian agar lebih mantap dan efisen. Semua sektor diingati semula supaya melaksanakan fungsi masing-masing agar tidak wujud pertindihan fungsi dan tidak beroperasi secara bersendirian. Saya baru dimaklumkan bahawa Bahagian Sumber Manusia akan membentang kertas cadangan pengukuhan dan pemantapan BTP dalam Mesyuarat Pengurusan KPM pada 11 Januari 2007 ini. Pada 12 Januari pula, satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato' KSU akan membincangkan penstrukturan semula Kementerian Pelajaran Malaysia. Tuan-tuan dan Puan-puan, Antara pencapaian yang amat terdesak dan berinsiden ialah Kertas Kabinet yang berkaitan dengan TV Pendidikan. Saya ingin mengingatkan bahawa program TV Pendidikan tersebut perlu dilaksanakan dengan kadar segera. Sektor-sektor yang terlibat perlu lebih akauntable untuk memastikan program ini tidak terjejas. Bahagian Teknologi Pendidikan telah melaksanakan kajian berkaitan dengan teknologi pendidikan bersama IPTA/IPTS dan Agensi Swasta. Usaha ini perlu dipuji, namun hasil kajian-kajian tersebut hanya tinggal sebagai laporan sahaja. Mulai tahun ini, BTP perlu pastikan supaya semua dapatan kajian-kajian adalah sah dan adil. Dapatan-dapatan itu perlu digunakan secara berkesan agar meningkatkan lagi martabat BTP. Saya bagi pihak Pengurusan Atasan BTP ingin mengucapkan ribuan terima kasih ke atas segala usaha yang ditaburkan untuk menjayakan program-program yang saya sebutkan tadi. Tuan-tuan dan puan-puan, walaupun pencapaian-pencapaian tersebut nampaknya cemerlang, namun keberkesanan program-program tersebut tidak diperlihatkan. Misalnya kadar peningkatan tabiat membaca di kalangan murid. Untuk mengelakkan perkara ini daripada berulang, segala aktiviti BTP tahun ini MESTIlah dijalankan berdasarkan KPI BTP. Sektor Jaminan Kualiti perlu memantau semua aktiviti sektor bagi pihak saya untuk memastikan aktiviti-aktiviti tersebut menjuruskan pencapain KPI BTP walaupun sesuatu sektor hanya melaksanakan SKTnya sahaja. Setelah bengkel pembangunan KPI BTP diadakan di Langkawi tahun lepas, satu set KPI telah dibangunkan seperti berikut:
- Tahap pembudayaan penggunaan teknologi pendidikan mencapai 100% di semua sekolah menjelang tahun 2010.
- Ini bermaksud semua aktiviti BTP khususnya rangkaian BTP perlu tumpu kepada pembudayaan penggunaan teknologi pendidikan.
- Perbelanjaan peruntukan adalah mengikut objek pada kadar 8.33% setiap bulan dan melebihi 95% setahun.
- Bagi KPI ini, unit kewangan dan Sektor Jaminan Kualiti perlu memantau dan melaporkan kepada Pengurusan BTP sekiranya KPI ini berkemungkinan tidak dicapai.
- Peningkatan 10% dalam indeks kepuasan pelanggan.
- Sebagai sebuah organisasi yang telah menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2000, BTP perlu pastikan semua pelanggan berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan yan ditawarkan. Semua sektor yang terlibat dengan penawaran perkhidmatan dan produk kepada pelanggan perlu menitikberatkan kepuasan hati pelanggan.
- Sekurang-kurangnya 10% sekolah di Malaysia dibestarikan.
- Semua warga BTP perlu faham konsep pembestarian sekolah. KPI Pembestarian sekolah mesti dibangunkan dan dilaksanakan sebelum 15 Januari 2007. Sektor Rangkaian perlu pastikan setiap PKG merancang pemantauan sekolah berdasarkan KPI yang dibangunkan. Khidmat bantu perlu diberikan kepada sekolah-sekolah yang belum mencapai tahap minima pembestarian sekolah.
5. Sekurang-kurangnya 95% pegawai BTP, BTPN, PTPB, PKG, Guru Perpustakaan, Guru Penyelaras Bestari dan Juruteknik di sekolah mengikuti latihan teknologi pendidikan bagi tempoh minimum 7 hari. - Individu pegawai yang tidak mendapat latihan ynag berkaitan bagi tempoh 7 hari harus memaklum KPP masing untuk memastikan mereka tidak tercicir. Sektor Latihan pula perlu memastikan KPI ini terlaksana.
- Peningkatan 5% dalam tahap membaca di kalangan murid.
- Sektor PSP dipertanggungjawabkan dengan KPI ini. Jangan hanya fokus kepada pembekalan buku dan bahan bantu mengajar sahaja. PSP mesti meneliti program-program galakan tabiat membaca yang diselaraskan oleh BTPN dan PKG berkesan dan membawa peningkatan dalam tahap membaca murid.
- Peningkatan 10% dalam tahap motivasi pegawai BTP dan rangkaian.
- Semua warga BTP yang menawarkan perkhidmatan kepada warga BTP yang lain perlu memastikan kualiti perkkhidmatan yang ditawarkan bermutu. Misalnya, pegawai-pegawai yang telah memasuki zon kenaikan pangkat dinaikan pangkat. JANGAN sekali-kali jadikan menunggu keputusan BSM atau JPA sebagai alasan, terutamanya bila pegawai yang berkenaan telah menunggu untuk bertahun-tahun. Selain itu, perkhidmatan lain seperti nilaian prestasi pegawai dan satf di bawah jagaan ketua-ketua juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.
Warga BTP perlu peka kepada kesemua 7 KPI BTP. Saya merayu kepada semua supaya menghayati kesemua KPI tersebut untuk memahami kesemuanya seterusnya berusaha secara berpasukan untuk mencapainya. Sekiranya sesuatu aktiviti yang diarahkan tidak menjuruskan kepada pencapaian KPI, Wakil Petugas Kualiti Sektor perlu menasihati KPP masing-masing sebelum ditegur dalam mesyuarat pengurusan. Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan. Warga BTP MESTI setia kepada BTP walaupun anda berpindah daripada bahagian-bahagian atau jabatan lain di KPM atau apa-apa kementerian. Tema pehimpunan Bulan ini "Kualiti Teras Kecemerlangan BTP" memang tepat dengan azam baru 2007 BTP. Saya yakin dengan perancangan yang telah dilaksanakan oleh semua warga BTP Disember tahun lalu, aktiviti-aktiviti tahun ini akan menjadi lebih lancar dan berkesan. Untuk mencapai status organisasi yang berkualiti, semua warga BTP harus pastikan segala kerja-kerja yang dilaksanakan mematuhi prosedur-prosedur yang telah ditetapkan, khususnya Perintah-perintah Am, Arahanarahan Perbendaharaan dan Arahan-arahan Pentadbiran yang sedang berkuat-kuasa. Pegawai-pegawai mesti lebih akauntable dan mengambil tindakan susulan agar tidak ada yang terlepas pandang atau tergendala. Kita semua sedia maklum bahawa pada tahun lepas BTP telah diiktiraf pensijilan MS ISO 9001:2000. Walau bagaimanapun, pensijilan ini mempunyai tempoh sah laku dan oleh itu, pemeriksaan akan dilaksanakan setiap tahun oleh pihak SIRIM untuk memastikan semua proses dan prosedur dipatuhi. Sehubungan itu, surveillance audit akan dijalankan oleh SIRIM pada 28 dan 29 Mac ini. Sebagai langkah persediaan, pra audit dalaman telah dijalankan pada 6 dan 7 Disember 2006. Dalam audit tersebut banyak ketidakpatuhan telah dikesan. Audit dalaman sebenar akan dilaksanakan pada 22 dan 23 Januari. Dapatan dari audit dalaman ini akan digunakan oleh SIRIM sebagai petunjuk kesediaan BTP dalam mengamalkan Sisem Pengurusan Kualiti. Saya harap dalam tempoh sebelum audit dijalankan, semua sektor yang terlibat telah mengambil langkah untuk membaiki keadaan ini dan memastikan semua proses dan prosedur sedia untuk di audit. Saya bagi pihak pengurusan atasan BTP amat berharap agar segala kerja dan program yang dipertanggungjawabkan kepada BTP diselesaikan oleh pegawai-pegawai kita dengan penuh dedikasi dan komitmen. Program-program tersebut mestilah dilaksanakan mengikut jadual dan yang penting sekali mesti membawa kesan sepertimana yang dihasratkan. Saya percaya sekiranya tuan-tuan dan puan-puan melaksanakan kesemuanya mengikut prosedur dan peraturan, hasrat ini mudah dicapai. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |