TEKS PERUTUSAN TAHUN BARU 2008
Y.B. DATO’ HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dan salam sejahtera, selamat pagi saya ucapkan kepada para hadirin yang saya hormati sekalian.
Yang Berhormat Dato’ Hin Choon Kim
Timbalan Menteri Pelajaran
Yang Berhormat Puan Komala Devi
Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran
Y. Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Haji Awang
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran
Y. Bhg.Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Pegawai-pegawai kanan kementerian, warga kementerian di semua peringkat, murid-murid, pelajar-pelajar yang saya kasihi.
1. Saya pertama-tamanya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di mana sahaja tuan-tuan dan puan-puan berada. Semoga kita semua melangkah ke tahun yang baru ini dengan penuh azam dan semangat yang berkobar-kobar serta bersedia untuk menunaikan segala amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan di atas bahu kita bersama.
2. Pada hari mulia ini juga, marilah kita bersama–sama mengucapkan dan memanjatkan rasa kesyukuran kita kerana dengan berkat limpah kurnia izin dan makmul Allah S.W.T, kita dapat menyambut kehadiran tahun baru dengan suasana yang aman, sejahtera, bebas dari sebarang malapetaka, bencana-bencana besar dan kekacauan. Banjir yang melanda lima buah negeri baru-baru ini telah pun di pantau melalui Jawatankuasa Khas Penggal Persekolahan 2008 setiap hari dan tindakan segera telah diambil bagi membantu pihak sekolah di dalam kawasan terbabit
3. Saya gembira kerana tindakan pembersihan, pembaikan dan penggantian telah dilaksanakan dengan segera dan hari ini saya dimaklumkan bahawa semua sekolah di seluruh negara boleh beroperasi dengan lancar. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua. Kerana saya lihat bahawa kesungguhan kita kadang kalanya tidak diiktiraf oleh orang ramai, tetapi kita sebagai satu warga kementerian, satu keluarga yang besar ini sekurang-kurangnya dapat kepuasan dari mereka yang terlibat untuk mempertahankan maruah kita warga Kementerian Pelajaran Malaysia dalam semua aspek.
Tuan-tuan dan puan-puan, adik-adik yang saya hormati sekalian,
4. Terasa bahawa tahun 2007 berlalu dengan begitu pantas. Mungkin kerana di sepanjang tahun 2007 terlalu banyak tugas yang perlu dilaksanakan, terlalu banyak peristiwa atau terlalu banyak perkara baru yang berlaku dalam bidang pendidikan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tahun 2007 agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya kerana selain melaksanakan tugas-tugas rutin dan menangani isu yang timbul secara bermusim, tumpuan kita lebih banyak diberikan kepada pelaksanaan segala perancangan di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.
5. Sebaik sahaja selesai pelancaran PIPP pada 16 Januari, tanpa berlengah kita telah menganjurkan Persidangan Perancangan Strategik bagi menerangkan kepada semua pegawai-pegawai kementerian kita, tumpuan, objektif, sasaran matlamat PIPP ini. Selepas itu, kita telah mengisi setiap bulan dengan fokus tertentu berkaitan dengan teras-teras yang telah pun ditetapkan di bawah PIPP ini, bermula dengan fokus terhadap Teras Keempat, iaitu usaha Merapatkan Jurang Pendidikan melalui Program Lonjakan Saujana Pendidikan Luar Bandar, kita telah pun pada bulan Februari bersama-sama dengan Y.A.B Perdana Menteri melancarkan pendekatan yang bersungguh-sungguh untuk mengurangkan jurang yang masih wujud. Diikuti dengan Teras Keenam, iaitu usaha Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan di dalam bulan Mac; seterusnya Teras Ketiga, Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dengan tumpuan terhadap program Pembestarian Sekolah dalam bulan April sehinggalah fokus dalam bulan terakhir, di dalam bulan
November di mana kita kembali memberi tumpuan kepada Teras Ketiga, iaitu Memperkasa Sekolah-sekolah Kebangsaan. Tidak lama selepas itu, di dalam bulan Disember, kita sekali lagi telah berhimpun di dalam Konvensyen PIPP bagi menilai semula pelaksanaan pelan ini, mengenalpasti semua kekangan yang ada, mencari jalan mengatasinya dan menyiapkan kad laporan kedua yang Insya Allah akan kita bentangkan kepada Jemaah Menteri dan masyarakat awam tidak lama lagi.
6. Alhamduliilah, hanya selepas 11 bulan PIPP ini dilancarkan, perlaksanaan RMK ke-9 sudah menunjukkan perkembangan yang cukup baik. Dari segi prestasi perbelanjaan, sehingga 30 November 2007 yang lalu, kita sudah melaksanakan 1,785 projek. Daripada jumlah ini 2,214 projek bernilai RM 2.54 bilion sudah siap sepenuhnya dan baki 3,133 projek sedang giat dilaksanakan. Pada masa yang sama, kita juga sudah mula menggerakkan pelaksanaan 4,436 projek lagi yang bernilai RM 12.29 bilion yang ketika ini dalam pelbagai peringkat pra-bina seperti penyediaan rekabentuk, penyediaan dokumen tender, penilaian tender dan juga rundingan harga.
7. Dari segi perbelanjaan tahunan pula, daripada RM 2.24 bilion yang diperuntukkan di bawah Perbelanjaan Pembangunan kepada kementerian pada tahun 2006, sejumlah 95.2 peratus sudah dibelanjakan. Bagi tahun 2007 pula, setakat 15 Disember 2007, daripada 3.1 bilion yang diperuntukkan sejumlah RM 2.21 bilion atau 78.7 peratus telah dibelanjakan. Jumlah ini telah pun mengatasi purata nasional iaitu 68.9 peratus. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat. Jumlah
perbelanjaan dijangka akan melonjak kepada RM 2.73 bilion atau 90.8 peratus menjelang 11 Januari 2008 ini.
8. Yang penting sekarang ialah tuan-tuan dan puan-puan, kita memperhebatkan lagi kejayaan ini. Kalau dari segi mikronya, saya nyatakan bahawa perbelanjaan telah pun mengikut sasaran yang di tetapkan, dari segi mikronya pula, apa yang telah dirancangkan telah pun mengikut jadual yang telah ditetapkan. Misalnya bagi projek projek yang berkaitan dengan teras ketiga, iaitu merapatkan jurang pendidikan khususnya lonjakan saujana pendidikan luar bandar sehingga akhir Disembar lalu, kesemua 300 projek bekalan air bersih telah pun siap dibekalkan untuk dimanfaatkan 120,000 murid. Bagi bekalan elektrik 24 jam pula, daripada 432 buah sekolah yang terlibat, 370 buah sekolah dibekalkan dengan janakuasa manakala 62 buah sekolah lagi melalui bekalan elektrik awam. Bagi projek penyambungan elektrik awam, daripada 32 buah sekolah telah siap keseluruhannya manakala baki 30 buah lagi telah siap kerja pendawaiaan dalaman.
9. Tuan-tuan, puan-puan, saudara saudari sekalian, perutusan tahunan saya tahun ini mirip kepada masuk bakul angkat sendiri. Kerana almaklumlah dalam tugas pendidikan dan juga tanggungjawab kita sebagai warga Kementerian Pelajaran, kita tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak dan kadang kalanya kita terkilan, denagn usaha yang bersungguh-sungguh tidak diiktiraf, tidak di hargai, dan kadang kala berterima kasih pun tidak. Saya baru dengar aduan daripada Datin Hamidah, dengan apa yang kita lakukan di Selangor pun, macam-macam isu dalam penggal pertama ini. Tetapi masuk bakul angkat sendiri sesama
warga kementerian sama-sama pihak-pihak berkepentingan dengan anak-anak kita di atas sana saya tidak berpoligetik, kerana dengan tugas yang telah pun di berikan kepada kita, saya percaya bahawa tuan-tuan dan puan-puan, saudara saudari telah melakukan yang terbaik kerana hari ini untuk rekodnya kita akan maklumkan kepada dunia semua kejayaan kita yang telah kita lakukan pada tahun 2007. Bagi saya pencapaian kita setakat hari ini adalah cukup menakjubkan. Bukannya mudah untuk menterjemahkan satu pelan induk ke dalam bentuk pelaksanaan dalam masa yang singkat, iaitu kurang daripada satu tahun, lebih lebih lagi jika kita mengambil kira saiz kementerian ini yang begitu besar dengan jumlah wagra kerja dan pelajar yang begitu ramai selain merangkumi pihak berkepentingan yang begitu banyak dan pelbagai. Malah untuk menerangkan sejelas-jelasnya PIPP kepada pegawai pegawai di KPM, di peringkat negeri, di peringkat daerah, di peringkat sekolah dan masyarakat umum, bagi saya pun sudah menjadi satu cabaran yang besar, apalagi untuk menggerakkan ke dalam bentuk perlaksanaan dan tindakan. Bukanlah sesuatu yang menghairankan, malah adalah sesuatu yang telah kita jangka, bila terdapat ramai pihak yang begitu sinis terhadap PIPP ketika ia mula-mula dilancarkan. Tetapi, Alhamdulillah, saya sebagai Menteri Pelajaran, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, berdiri di hadapan warga kementerian pelajaran, menyatakan bahawa sekiranya kita ini ikhlas, sanggup berkerja dengan bersungguh-sungguh, sesungguhnya kementerian pelajaran boleh dan kita akan buktikan bahawa apa yang termaktub akan menjadi satu kenyataan .
10. Biarpun tahun 2007 begitu padat, begitu mencabar dan memenatkan, namun saya yakin bagi setiap warga kementerian, segala pengalaman yang ditempuhi ini benar-benar memberikan kepuasan, lebih-lebih lagi apabila ia disulami dengan berita-berita gembira dan pencapaian yang membanggakan.
11. Dalam bidang akademik misalnya, keputusan UPSR dan PMR telah menunjukkan peningkatan yang menggalakkan. Bagi UPSR, daripada 500,786 orang calon yang menduduki peperiksaan, sejumlah 48,400 orang mendapat gred A dalam semua matapelajaran yang diduduki. Ini yang menteri pelajaran, timbalan menteri, setiausaha parlimen disiksa semua masuk PIPP. Peningkatan yang sama juga dilihat di dalam PMR, di mana jumlah pelajar yang mendapat A meningkat sebanyak 3.2 peratus berbanding tahun 2005. Peningkatan ini menunjukkan usaha kita yang dilaksanakan sepanjang tahun. Program bantuan tambahan, latihan guru, ujian diagnostik, program bacaan tambahan, pelbagai program yang lain yang telah dilaksanakan di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan juga di peringkat sekolah telah memberikan pulangan yang agak memberansangkan.
12. Kejayaan anak-anak kita menguasai kurikulum dalam bidang-bidang matapelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Kemahiran Komputer, Tulisan, Ejaan dan Ujian Pencapaian Am di peringkat antarabangsa juga menakjubkan. Misalnya kejayaan pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Convent (1) Bukit Nanas, Nur Fatihah Athira Muhamad dan juga Isaac Tay Shao Ann daripada Sekolah
Menengah Kebangsaan Lelaki Methodist Kuala Lumpur di International Competitions and Assessments for Schools (ICAS) 2007 membanggakan. Kedua-dua mereka ini berjaya memenangi pingat emas untuk negara walaupun perlu bersaing dengan lebih 1.7 juta pelajar dari 10 buah negara.
13. Dalam bidang kokurikulum pula, pencapaian pelajar kita tidak kurang hebatnya, termasuk di peringkat antarabangsa. Dalam bidang sains dan teknologi sahaja, kita telah memastikan anak-anak kita terlibat secara langsung dalam Kejohanan Dunia cabaran Teknologi F1 di Australia, International Science and Engineering Fair (ISEF) di Amerika Syarikat, International Chemistry Olympiad (IChO) di Korea, International Physics Olympiad (IPhO) di Singapura, International Mathematics Olympiad (IMO) di Greece, World Robotics Olympiad (WRO) di China dan banyak lagi. Misalnya, dalam 11th World Primary Mathematics Contest di Hong Kong, daripada lapan pelajar yang dihantar, empat orang telah mendapat markah sempurna (perfect score) dan ini mendapat penganugerahan 1st Honours, membolehkan pasukan negara kita menjadi johan keseluruhan pertandingan tersebut. Saya minta bahawa usaha-usaha ini dipertingkatkan.
14. Dalam bidang sukan, kejayaan pelajar-pelajar kita yang berjaya membantu negara di Sukan SEA di Korat baru-baru ini turut membanggakan kita. Daripada 743 atlet negara, 107 merupakan pelajar kita dan dua orang merupakan guru. 94 orang datang daripada kedua-dua buah sekolah sukan kita dan di Korat, pelajar kita telah membantu negara merangkul 25 pingat emas, 19 pingat perak dan 39 pingat gangsa.
Pelajar-pelajar kita telah menyumbang 36 peratus daripada keseluruhan 68 pingat emas yang dipungut oleh kontinjen negara.
15. Selain pencapaian akademik, kokurikulum dan sukan, kita juga boleh menarik nafas lega kerana jumlah kes disiplin di kalangan pelajar sepanjang tempoh empat tahun, sejak tahun 2004 telah pun menurun. Sedikit sebanyak ini menunjukkan bahawa pendekatan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid dan empat jawatankuasa bertindaknya telah menampakkan kesan positif. Statistik menunjukkan terdapat penurunan iaitu 2.13 peratus tahun 2006 kepada 2.10 peratus tahun 2007. Jumlah aduan disiplin yang diterima juga menurun daripada 170 aduan pada tahun 2006 kepada hanya 106 aduan sahaja pada tahun 2007. Kes ponteng sekolah, tidak termasuk adik-adik yang berada di atas ini, juga menunjukkan penurunan iaitu daripada 0.46 peratus pada tahun 2006 kepada 0.39 peratus pada tahun 2007.
16. Dari segi hukuman pula, hukuman Gantung Sekolah, Buang Sekolah dan Rotan juga turut berkurangan. Peratus kes hukuman gantung Sekolah telah menurun kepada 0.37 peratus. Bagi hukuman Buang Sekolah, kesnya telah menurun kepada 0.18 peratus pada tahun 2007. Manakala bagi kes hukuman rotan pula, jumlahnya telah menurun daripada 1.4 peratus tahun 2006 kepada 1.25 peratus pada tahun 2007.
17. Tentulah satu lagi kejayaan yang menggembirakan adalah kejayaan negara menduduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO dengan undi yang tertinggi di antara negeri-negeri yang bertanding. Bagi setiap yang terlibat ketika itu, kita tahu kejayaan ini di capai melalui usaha keras
bukan sahaja kita yang berada di sana, tetapi daripada semua pihak mempromosikan segala pengalaman, kepakaran dan peranan negara dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini membuktikan bahawa sistem pendidikan negara diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Kalau sekiranya ada pihak-pihak di negara sendiri tidak mahu mengiktiraf, kalau kita sendiri hendak masuk bakul angkat sendiri, mengiktiraf diri sendiri, puji sendiri, tetapi percayalah tuan-tuan dan puan-puan sekurang-kurangnya di persada antarabangsa, di peringkat dunia, sistem pendidikan kita dilihat sebagai di antara yang terbaik yang telah pun di gubal.
18. Sebenarnya banyak lagi kejayaan yang telah kita capai di sepanjang tahun lepas. Namun tidak mungkin dapat saya senaraikan semuanya pada kesempatan yang terhad ini. Tetapi apa yang penting, ialah untuk kita jadikan semua cerita kejayaan ini sebagai kegembiraan yang membolehkan kita menutup tirai tahun 2007 dengan senyuman dan menjadi pembakar semangat untuk kita memulakan tahun 2008 dengan penuh keazaman baru.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,
19. Segala yang kita lakukan ini, menerusi dua pendekatan dan enam teras yang termaktub di dalam PIPP kita, ialah untuk melaksanakan sebaik-baiknya tanggungjawab dan amanah kita untuk membangunkan modal insan bagi mengisi pembangunan dan kemajuan negara.
20. Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri abdullah Hj. Ahmad Badawi ada menyatakan bahawa, “Hari ini modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan.” Modal insan merupakan kunci kepada perubahan sosio-ekonomi masyarakat serta kunci kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara. Tetapi persoalannya, modal insan yang bagaimana hendak kita lahirkan melalui sistem pendidikan kita? Tentunya modal insan yang dapat membina negara ini, tentunya anak bangsa yang dapat mempertahankan kedaulatan dan keamanan, anak-anak kita yang dapat memastikan keharmonian dan kesejahteraaan rakyat; bukan sekali-kali mereka yang tidak menghormati undang-undang, tidak menghargai keamanan dan keharmonian negara; bukan juga golongan yang merusuh di tepi-tepi jalan, membakar bendera, mempersendakan lagu Negaraku, membuat kekacauan serta meniupkan api perkauman dan permusuhan.
21. Secara lebih mendalam, kita mahukan mereka;
- Pertamanya, menjadi pelajar yang seimbang dari aspek jasmani, intelek, rohani dan emosi, kita mahukan pelajar yang mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, berilmu dan berkemahiran, berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni, berkeyakinan tinggi, berketrampilan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
- Kedua, menjadi pekerja berkualiti yang berintegriti, mempunyai minda kelas pertama, minda teroka,kritis dan juga kreatif, berilmu pengetahuan luas dan sentiasa dahagakan ilmu, berkemahiran tinggi menguasai kemahiran ICT, berfikiran terbuka, berprinsip, reflektif, sanggup mengambil risiko, mampu berkomunikasi dengan
berkesan dan sentiasa sanggup ke hadapan untuk mencipta
teknologi baru.
- Ketiga, yang mampu menjadi pemain global, kita hari ini dalam dunia yang tanpa sempadan terpaksa bersaing dengan anak-anak bangsa lain di dunia, maka anak-anak kita perlu menjadi pemain global yang berdaya saing tinggi, berdaya tahan, menguasai pelbagai bahasa, terutama bahasa inggeris dan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di samping terus berpegang teguh kepada jati diri, identiti dan bahasanya sendiri.
- Keempat, menjadi warganegara yang bertanggungjawab, iaitu warga negara yang bersikap patriotik, berbudi, komited, adil, penyayang, sentiasa sanggup menyumbang bakti dan boleh menjadi pemimpin yang berkesan kepada keluarga dan juga masyarakat. Pada masa yang akan datang, saya percaya bahawa negara yang paling berjaya adalah negara yang benar-benar berusaha untuk meneroka, membangun dan memanfaatkan potensi serta bakat dan menyuntik nilai-nilai murni di dalam jiwa dan sanubari anak-anak bangsanya, bukan hanya kepada segelintir, sebahagian mereka yang berada di sini tetapi ke semua modal insan yang ada di negara kita.
22. Misi kita adalah untuk memastikan kesemua generasi muda kita diberi pendidikan sebaik-baiknya dan tidak membiarkan mana-mana pelajar ketinggalan di dalam pembelajaran mereka, apa lagi tercicir dari sistem persekolahan kita. Sasaran kita adalah keciciran sifar – bermakna pada masa hadapan, iaitu selepas kita melaksanakan pelbagai perubahan
dalam sistem pendidikan kita, tidak ada lagi alasan, tidak ada lagi tolak ansur dan tidak ada lagi maaf bagi sekolah yang membiarkan walau seorang pelajar pun yang gagal tanpa sebarang tindakan menghalangnya.
23. Kerajaan yang bertanggungjawab, telah melaksanakan yang terbaik untuk mempunyai akses terhadap pendidikan. Kita telah pun memastikan bahawa akses ini terbuka luas kepada mereka berkeperluan khas. Mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman, hari ini kita telah melangkah setapak lagi dengan usaha kita untuk memberikan akses bukan sahaja mereka yang memerlukan tumpuan khas, bukan sahaja mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman, tetapi termasuk juga mereka yang berada di jalanan-jalanan dan juga banduan-banduan. Kita telah memulakan langkah ini melalui pengenalan Dasar Pendidikan Wajib pada 2003. Satu permulaan yang cukup baik. Kita telah memantapkan lagi pendidikan awal melalui program pra-sekolah, kita telah meningkatkan penguasaan kemahiran 3M dan kita telah merangka program khas untuk orang Asli dan Penan.
24. Melalui Program Lonjakan Saujana Pendidikan Luar Bandar, semua usaha untuk merapatkan jurang pendidikan dipakejkan, termasuklah usaha untuk membangunkan infrastuktur sekolah yang daif dan kurang murid, meningkatkan kadar penyertaan murid serta meningkatkan bilangan guru pelatih dan mengikut opsyen. Saya faham, mungkin ada liputan-liputan media semalam, yang menyatakan ada lagi sekolah-sekolah kita yang perlu kita beri tumpuan. Kalau Datin di Selangor terpaksa melaluinya bayangkan Menteri Pelajaran yang kerdil
ini, berhadapan dengan berapa puluh ribu sekolah, berapa juta pelajar dan berapa ramai guru yang terlibat.
25. Bagi penggal persekolahan 2008 contohnya, selain daripada usaha-usaha yang saya sebutkan tadi, penyediaan pelbagai jenis bantuan telah pun disediakan. Semalam saya umumkan bahawa RM 2.57 bilion akan diperuntukan tahun ini untuk bantuan-bantuan tambahan yang merupakan peningkatan 53 peratus, tetapi masih belum puas hati dan saya ingat dan saya harap dah bincang dengan Tan Sri KSU, jumlah ini dapat kita pertingkatkan lagi, perbanyakkan lagi melalui penjimatan daripada saluran-saluran lain untuk kita tambah sebanyak RM 3 bilion ringgit. Dan kalau sekiranya tambahan ini dapat dijayakan, ianya merupakan 12 peratus daripada peruntukan mengurus tahunan sekitar 78 peratus lebih tinggi daripada peruntukan tahunan 2007.
26. Bagi mengurangkan risiko keciciran lagi dikalangan pelajar luar bandar dan juga pedalaman, Asrama Harian disediakan. Sebanyak RM 9.1 juta lagi disediakan sebagai Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah kita naikkan kadarnya. Program Susu Sekolah yang akan dimulakan semula pada tahun ini akan menggunakan pendekatan dan mekanisme baru. Manakala sebanyak RM 50 juta diperuntukan untuk Bantuan Makanan Khas Pra-Sekolah. Bagi anak-anak yang berada di asrama pula, kadar Bantuan Makanan asrama juga telah pun dinaikkan. Jumlah yang diperuntukkan pada tahun 2008 untuk Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan Universiti dan Skim Biasiswa Sukan telah meningkat kepada RM 268.5 juta.Ini tidak termasuk apa yang diumumkan
Pak Lah dalam bajet tahun lepas.Pemansuhan yuran khas sekolah, skim pinjaman buku teks, penghapusan yuran peperiksaan awam pada tahun 2007. Elaun Pakaian Seragam Unit Beruniform sahaja berjumlah RM 188.8 juta setahun. Jadi, Tuan-tuan dan Puan-puan, sebenarnya bila saya di lantik sebagai Menteri Pelajaran, ramai kawan-kawan mengucapkan takziah kepada saya. Suatu kementerian yang tidak berbaloi, orang tidak akan berterima kasih tetapi terus terang di hadapan warga kementerian saya sendiri, saya nak menyatakan bahawa 3 tahun saya berada di Kementerian Pelajaran, saya merasai satu kepuasan yang susah dinilai dan saya berterima kasih sangat di atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
27. Usaha untuk memastikan semua modal insan kita mendapat pendidikan yang sempurna dan berkualiti, perlu dimulakan di sekolah-sekolah kebangsaan. Ini bukan isu perkauman, warna kulit atau agama. Ini kerana 80.5 peratus daripada sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran merupakan sekolah dan 83.8 peratus daripada pelajar kita belajar di sekolah-sekolah ini. Pelbagai usaha telah dibuat untuk memperkasakan sekolah kebangsaan termasuk menawarkan subjek Bahasa Cina (BC), Bahasa Tamil (TM), dan juga program J-QAF untuk menarik seramai mungkin anak-anak kita untuk bersama-sama di sekolah kebangsaan.
28. Tetapi usaha memperkasa Sekolah Kebangsaan ini akan dilaksanakan tanpa perlu menyekat kewujudan sekolah-sekolah aliran yang lain. Kita tidak melihat sekolah-sekolah berlainan aliran ini, termasuk sekolah beraliran agama sebagai saingan atau ancaman.Sebaliknya kita melihat kepelbagaian ini sebagai suatu kekuatan yang dapat meningkatkan daya saing negara. Dalam masa dunia terkapai-kapai mancari jalan untuk mengelakkan pertembungan tamadun, pertembungan di antara penganut-penganut agama yang pelbagai, kita di Malaysia telah pun mengamalkannya, membuktikan kepada dunia bahawa dalam kepelbagiaan itu ada kekuatan. Dalam kepelbagaiaan itu mampu kita ketengahkan anak–anak bangsa yang boleh kita letakkan sebaris dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Dengan kepelbagaiaan itu juga kita dapat menyediakan satu sistem pendidikan bukan sahaja untuk memenuhi kehendak semua pihak, tetapi juga untuk melahirkan modal insan yang membawa erti dan makna yang sebenarnya kepada apa yang hendak kita umumkan tidak lama lagi, sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
29. Jika terdapat tuduhan bahawa kerajaan mengabaikan SJK, saya ingin menyatakan bahawa tuduhan ini tidak benar sebaliknya bermotif jahat. Saya hendak maklumkan kepada orang ramai, jumlah SJKC yang merupakan sekolah kerajaan adalah sebanyak 405 buah dan SJKT, sebanyak 149 buah. Sekolah-sekolah ini layak untuk menerima segala bantuan sama seperti yang diberikan kerajaan kepada SK berstatus sekolah kerajaan. Bagi SJK berstatus bantuan modal pula, mereka juga menerima peruntukan mengurus sama seperti yang diperolehi oleh Sekolah Kebangsaan berstatus bantuan modal. Bagi tahun 2006 – 2007, jumlah peruntukan belanja mengurus yang diterima oleh SJKC adalah
sebanyak RM 2.27 bilion dan bagi SJKT, sebanyak RM 923 juta. Dari segi peruntukan pembangunan pula untuk tahun 2007, SJKC telah menerima peruntukan sebanyak RM 174.3 juta dan SJKT pula sebanyak RM 64.8 juta. Semua peruntukan ini tidak termasuk peruntukan yang diberikan secara bantuan modal dan bantuan akibat bencana atau atas sebab-sebab kecemasan. Pada waktu yang sama, sejumlah kelulusan juga telah di berikan untuk mengalihkkan SJKC dan SJKT yang kurang enrolmen ke kawasan-kawasan baru. Jadi kita perlu bangga, kita perlu berani berhadapan dengan mereka yang pemikiran sempit ini, sanggup mengunakan isu-isu yang tidak munasabah yang hanya ingin menjadi popular untuk menunjukkan bahawa sesungguhnya kalau kita bandingkan dengan jumlah sekolah yang ada dengan pelbagai aliran yang ada, kita telah lakukan yang sebaik mungkin. Memang ada cacat celanya, dalam beberapa pendekatan kita,tetapi ini tidak bermakna bahawa tuduhan tuduhan mereka yang liar ini dapat diterima. Sebab itu, saya meminta setiap warga Kementerian Pelajaran bangkit beritahu kepada mereka tuduhan liar mereka tidak boleh di terima oleh sesiapa di dalam Kementerian Pelajaran Malaysia.
30. Pada waktu yang sama, Kementerian Pelajaran akan meneruskan usaha untuk memantapkan lagi pendidikan agama Islam dan meningkatkan kualiti pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan juga Sekolah Agama Negeri (SAN). SAR dan SAN akan terus ditawarkan tempat untuk bernaung di bawah kementerian bagi membolehkan sekolah-sekolah ini menerima bantuan seperti yang diterima oleh sekolah bantuan kerajaan yang lain. Sejak pendaftaran sekolah-sekolah ini sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebanyak RM 147.5
juta telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk menaik taraf sekolah-sekolah ini dan seramai 35,722 orang pelajar telah menerima manfaat daripadanya. Tugas kita bukan untuk merampas tanah mana-mana pihak, bukan untuk merampas kuasa mana-mana pihak lembaga, tetapi hendak menunjukkan bahawa Pendidikan Islam bukan seperti apa yang di tuduh dan di dakwa, untuk melahirkan pengganas-pengganas dan mereka yang sanggup berani bom, berani bunuh diri, dan pendidikan agama kita tidak mampu menerokai teknologi, tidak mampu memahami apa yang diminta oleh dunia pada hari ini dan jelas kebelakangan ini beberapa negara yang datang untuk melihat sendiri dan telah menyatakan kepada saya bahawa sistem pendidikan agama islam kita boleh dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini. Dengan pengiktirafan tadi, dengan pengakuan bahawa kepelbagaian itu dilihat sebagai suatu kekuatan, tidak bermakna bahawa usaha untuk kita memperhebatkan lagi program-program integrasi dan interaksi tidak diperhebatkan. Dan ini bukan sahaja terhad kepada sekolah-sekolah agama, SJK, tetapi juga sekolah-sekolah swasta dan sekolah-sekolah antarabangsa. Kita hendak program RIMUP, program e-integrasi, program-program akademik dan semalam saya bersama-sama dengan cikgu-cikgu kita di Sekolah Puay Chai; dan mereka pun telah bersetuju bahawa sesungguhnya dalam pengiktirafan dan juga kenyataan saya tadi, usaha untuk memastikan bahawa anak-anak kita yang berada dalam pelbagai aliran ini, terus kita pastikan interaksi, integrasi sesama kita melalui program-program bersama dapat diperhebatkan. Ini satu cabaran yang ingin kita laksanakan tahun 2008 ini.
31. Saya sentiasa berpegang kepada kepercayaan bahawa setiap anak kita mempunyai bakat dan potensi yang berbeza. Tempoh yang diambil uhtuk bakat dan potensi mereka berkembang juga tidak sama. Tugas utama kita adalah membuka seluas-luas ruang dan peluang bagi anak-anak kita ini memperkembangkan potensi diri mereka serta melengkapkan diri mereka dengan sebanyak mungkin kemahiran yang relevan dengan keperluan hari ini. Trend dunia ketika ini adalah untuk melihat ke arah penyediaan satu sistem pendidikan yang lebih bersifat holistik dan perseorangan (personalised) berbanding amalan sedia ada. Ini merupakan rasional kenapa kita ingin meneliti semula kurikulum kebangsaan kita, kaji dan rintis pendekatan untuk kita membuat perubahan kepada kokurikulum. Kita hendak tengok bahawa Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) juga dapat dirombak dan membuat reformer, kerana ianya dapat melahirkan pelajar yang benar-benar menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Reformasi dalam sistem pentaksiran dapat menjadikan guru sebagai pemudah cara yang berkesan, dapat mengurangkan peperiksaan berpusat dan sekaligus mengurangkan tekanan peperiksaan dihadapi oleh pelajar, guru dan ibu bapa.
32. Peningkatan terhadap Peperiksaan Pusat akan dikurangkan melalui pelbagai cara kita sedang merintisnya dalam tempoh PIPP ini, di antaranya ialah untuk mengurangkan bilangan matapelajaran yang boleh di ambil oleh murid-murid kita. Mengadakan jadual yang lebih fleksibel serta mengasingkan peperiksaan aiiran vokasional dengan aiiran akademik. Saya harap bahawa usaha ini khususnya dalam konteks melihat semula aliran Vokasional Teknikal dapat diperhebatkan tahun 2008 ini.
33. Bagi memastikan reformasi ini terlaksana dengan lancar, tidak boleh dielak, golongan guru dari kepimpinan sekolah memainkan peranan yang sangat utama. Trend dunia menunjukkan, sistem pendidikan terbaik merekrut hanya mereka yang terbaik saja untuk pendidikan. Finland misalnya hanya merekrut dalam kalangan 10 peratus teratas calon yang paling cemerlang, manakala Hong Kong pula, 30 peratus teratas. Trend dunia menunjukkan bahawa sekolah-sekolah cemerlang menghantar sendiri guru-guru mereka mengikuti program latihan dan pembangunan profesional secara berterusan bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran mereka. Kita mula dengan sekolah-sekolah kluster kita tahun ini juga.
34. Usaha untuk memartabatkan profesion keguruan tidak ada mana-mana pihak boleh menafikan usaha yang sudah kita lakukan dalam masa yang begitu singkat. Dalam usaha untuk memantapkan latihan perguruan, Kementerian telah menggubal Kurikulum Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dengan kerjasama Fakulti Pendidikan universiti awam tempatan dan juga daripada universiti-universiti luar negara. Bagi membantu lagi kelayakan ikhtisas para tenaga pengajar di IPG, KPM mensasarkan penawaran sebanyak 500 Hadiah Latihan Persekutuan untuk pengajian peringkat doktor falsafah dan 2,051 untuk pengajian peringkat sarjana di sepanjang tempoh 2006 - 2010. Di samping itu juga, di bawah Program Pensarjanaan Tenaga Pengajar IPG pula, sebanyak 1,380 penajaan dalam bentuk biasiswa atau hadiah akan ditawarkan kepada pensyarah di sepanjang tempoh 2007 hingga 2010.
35. Bagi memastikan kerjaya guru terus menarik kepada calon yang terbaik. Kita telah umumkan bahawa keprihatinan kerajaan terhadap sumbangan para guru dengan membolehkan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma mempunyai empat lapisan gred DGA29, DGA32, DGA34, DGA38. Kewujudan sebanyak 1,700 jawatan untuk sebaran lima (5) tahun yang dikhaskan kepada Guru Besar dan juga Guru-Guru Besar Cemerlang Sekolah Rendah bukan sahaja sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan kompleksiti tanggungjawab untuk mendidik anak-anak kita pada hari ini, tetapi juga telah menyediakan faedah dan kenaikan gaji yang lebih baik untuk warga guru kita.
36. Kerajaan telah meluluskan penambahan kuota Pengetua dan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan PPPLD. Selain itu, dalam urusan kenaikan pangkat secara Time Based sebanyak 34,795 orang PPPLD gred DGA29 telah dinaikkan pangkat ke gred DGA32, tidak pernah di dalam sejarah sistem pendidikan negara kita. Manakala 7,393 orang PPPS telah dinaikkan pangkat ke gred DG 44 dan 253 PPPS DG44 ke gred DG48. Banyak yang telah kita lakukan dan sekali lagi kita tidak akan mendapat pengiktirafan, terima kasih pun tidak akan diluahkan. Bila hendak dapat rayuan hendak masuk ke IPT, sanggup tunggu di luar pintu menteri hari-hari, sms berulang-ulang kali, bila dia dapat tempat, sebelum hendak mendapat tempat menteri kata ini ada syarat jangan pilih lokasi, sanggup mengajar di luar bandar. “Takpe Tok, kalau Dato’ arah esok, esok saya ke Sabah dan sarawak pedalaman”. Dapat tempat dalam IPT tidak semestinya satu guarantee dapat kerja. Tidak ada dalam dunia ini di mana jaminan yang kekal, yang tetap untuk
mereka yang lulusan mana-mana bidang. “Takpe Tok, pengorbanan, perjuangan, saya sanggup tunggu.” Tetapi semalam saya dengar ada yang tidak tahan lagi, tidak larat tunggu, mengadu dan sabar saja lah kita.
37. Seperti yang saya pernah sebutkan, hasrat kita di dalam usaha memartabatkan profesion keguruan ini adalah bukan sahaja untuk melahirkan guru yang berkualiti, tetapi lebih jauh daripada itu, iaitu memastikan mereka yang berkualiti ini kekal di dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Tidak ada apa yang lebih menyedihkan bila saya, Dato’ Alimuddin, Tan Sri Zul, dan juga timbalan-timbalan menteri kita, pegawai-pegawai kita yang membuat lawatan di negara-negara jiran di mana kita lihat ramai guru-guru kita yang mengajar di negara-negara luar negara sendiri. Jadi usaha yang kita lakukan ini bukan hanya untuk menyenangkan dan mengiktiraf profesyen perguruan, tetapi sekurang-kurangnya harapan saya ialah untuk memastikan bukan sahaja guru-guru kita berkualiti kita ini kekal di dalam sistem pendidikan. Saya percaya bahawa pencapaian cemerlang anak-anak kita datang dari usaha serta kebijaksaan yang konsisten guru-guru kita, iaitu professional yang tidak pernah jemu berusaha; yang mengajar dengan lebih baik pada hari esok dan sentiasa belajar dari kelemahan hari ini; yang tidak pernah mengalah apabila pelajar mereka ketinggalan, jauh dari menganggap bahawa mereka ini tidak cerdik, malas atau kurang berupaya sebaliknya bertanya kepada diri sendiri apa lagi yang perlu aku lakukan agar pelajar mereka dapat menguasai setiap yang diajar.
38. Kita bersyukur hari ini, dunia telah member! pengiktirafan kepada sistem pendidikan di Malaysia. Justeru kita akan meneruskan agenda pengantarabangsaan sistem dan institusi pendidikan pada tahun ini. Melalui agenda kita ini, kita harap dapat mendedahkan pelajar dengan persaingan global sejak awal lagi. Kita juga mahu mereka belajar menghargai perbezaan negara dan bangsa lain agar mereka mampu mengadaptasi sebagai warga global dengan baik lagi. Usaha-usaha juga akan dibuat bagi meningkatkan kepakaran para pegawai dan warga pendidik di peringkat antarabangsa. Usaha-usaha pengantarabangsaan ini penting sejajar dengan hasrat kita untuk menjadikan sistem pendidikan negara sebagai benchmark atau penanda aras sekurang-kurangnya kepada negara-negara yang berdekatan khususnya di rantau Asean dan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
39. Tidak lama lagi, iaitu di dalam bulan Mac, kita akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara ke 43 (SEAMEC) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN ke 3 (ASED). Satu Persidangan ICT yang melibatkan bukan sahaja negara-negara anggota ASEAN, malah negara-negara luar yang lain akan turut diadakan secara 'back-to-back' dengan SEAMEC. Pada masa yang sama, setiausaha agong UNESCO telah bersetuju pada masa dan ketika itu, untuk kita menandatangani satu memorandum persefahaman di antara ASEAN dan UNESCO. Pada bulan yang sama juga, kita akan menjadi tuan rumah kepada Cabaran Teknologi F1 peringkat antarabangsa yang akan diadakan secara 'back-to-back' dengan Grand Prix F1 di Sepang. Ini semua diadakan untuk memasarkan Malaysia dan sistem pendidikan negara kepada dunia.
40. Dengan perancangan yang tersusun, persidangan tersebut akan mampu menjadi showcase 1 bagi memperkukuhkan inisiatif Kementerian Pelajaran untuk meletakkan pendidikan Malaysia di platform antarabangsa. Kementerian Pelajaran Malaysia boleh dan tidak mungkin saya akan menawarkan mesyuarat-mesyuarat sebegini rupa kalau saya tidak yakin bahawa tuan-tuan dan puan-puan boleh ketengahkan persembahan dan pencapaian dan juga hasil kejayaan kita yang terbaik dan kita pamerkan dan kita hadamkan kepada dunia melalui kaedah-kaedah sebegini. Saya cukup yakin bahawa kita dapat melakukannya sehingga baru-baru ini, saya telah menjemput semua Menteri Pelajaran dari 54 buah negara Komanwe! untuk datang ke Malaysia pada tahun 2009 bagi melihat sendiri kejayaan dan pencapaian kita di Malaysia. Y.A.B Perdana Menteri di CHOGM baru-baru ini, telah memberitahu kepada saya bahawa semua pemimpin-pemimpin negara anggota telah pun setiuju kita menjadi tuan rumah kepada persidangan ini tahun 2009.
41. Akhir kata, segala ini menunjukkan kita berada di atas landasan yang tepat, tetapi kita tidak boleh berasa terlalu selesa. Ketika ini di seluruh dunia, kualiti dan tahap pendidikan negara-negara lain semakin meningkat dan peningkatan ini berlaku terlalu cepat dan juga terlalu pantas. Seperti yang pernah saya katakan, sistem pendidikan kita ketika ini berada di persimpangan dan sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh mengekalkan momentum yang ada ini, tidak mustahil lima tahun akan datang negara kita akan jauh ketinggalan ke belakang, negara-negara yang sedang mengejar kita akan terus mengejar kita. Tindakan dan keputusan yang hendak kita ambil hari ini bukan sahaja amat kritikal untuk memakmurkan jangka panjang negara kita, malah lebih penting
daripada itu, iaitu untuk menentukan survival generasi muda masa hadapan.
42. Saya hendak memaklumkan kepada tuan-tuan dan puan-puan, pada hari yang mulia ini, majlis yang diberkati ini, bahawa hari ini saya mempunyai barisan kepimpinan tertinggi dan kanan di Kementerian Pelajaran yang boleh kita harapkan. Bukan dahulu tidak boleh diharap, tetapi sekurang-kurangnya sekarang ini, saya sudah memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing dan mereka juga memahami kehendak Menteri Pelajarannya. Ada 3 tahun yang bila kita merintis untuk melihat di mana kita dapat memperbaiki kelemahan-kelemahannya, 2008 ialah permulaan untuk kita menunjukkan bukan sahaja kejayaan–kejayaan yang telah kita tunjukkan dari 2007 tetapi inilah masanya kita mula menganjakkan sistem pendidikan kita kepada tahap yang lebih tinggi lagi. Tetapi semua itu tidak akan bermakna kalau negara kita tidak aman, negara kita tidak makmur, politik kita tidak stabil, ekonomi kita tidak diperluaskan. Kita telah berjaya mengadakan pendidikan kepada semua rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat, tidak kira kedudukan kaum dan agama seperti yang di sebut oleh Menteri Pelajaran Palestin semasa sidang meja bulat di UNESCO Oktober lalu, sebuah negara hanya dapat memberikan pendidikan yang baik kepada rakyatnya sekiranya ada kestabilan politik dan ekonomi di dalam negara sendiri. Hari ini selepas hampir empat tahun diberi mandat, kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa janji-janji berkaitan bidang pendidikan di dalam manifesto kita telah pun Insya Allah sebahagian besarnya ditunaikan.
43. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah bekerja keras, komited, ikhlas dan jujur sepanjang tahun 2007. Seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini, saya telah melihat sendiri kemahiran, kemampuan dan kesungguhan setiap warga Kementerian Pelajaran Malaysia. Sesungguhnya kita memerlukan arah tuju yang jelas, kita memerlukan kepimpinan yang berkesan serta penyatuan hati, tenaga dan fikiran semua warga Kementerian Pelajaran untuk menjayakan amanah bangsa, agama dan negara yang telah dipikulkan di atas kepala dan bahu kita ini. Marilah sama-sama kita merintis ke arah perubahan masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.