Intranet BTP
 Aplikasi Online

 Pautan

 





Kami telah menerima pengunjung seramai

Sejak 14 Ogos 2007

Journal Content
Please contact the administrator to setup this portlet. If you are the administrator, go to the configuration screen to setup this portlet.

Select an existing article or add an article to be displayed in this portlet.
 
Perkhidmatan

Perpustakaan Bahagian Teknologi Pendidikan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan untuk pelanggannya seperti berikut:

  1. Rujukan
  2. Pinjaman Buku
  3. Pinjaman bahan bukan buku. Kemudahan ini diberikan kepada sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang lain.
  4. Pinjaman buku antara perpustakaan: Perpustakaan BTP boleh menguruskan pinjaman buku-buku dari perpustakaan lain untuk Pegawai BTP sekiranya buku tersebut tidak ada di Pusat Sumber BTP. Sila memohon melalui pegawai Perpustakaan BTP.
  5. Pinjaman bahan terpilih seperti Japan Prize Circulating Library. Kemudahan pinjaman ini dibuka kepada sekolah-sekolah. Pusat Sumber BTP adalah Pusat Serantau Asia Tenggara bagi projek ini.
  6. Pusat Rujukan Koleksi Bacaan Kanak-kanak.

BAHAN BERCETAK
Buku Laporan, Kertas Kerja BTP, Nota Rancangan Radio Pendidikan dan Jadual TV Pendidikan, dan Nota Panduan Guru.

TERBITAN BERKALA
Jurnal, Majalah, Risalah, dan Buletin.

KERATAN AKHBAR

KOLEKSI BAHAN BACAAN KANAK-KANAK

BAHAN BUKAN BUKU
Pita Video dan Audio dalam bentuk kaset, CD Pengajaran dan Kit-Kit Pembelajaran.

JAPAN PRIZE CIRCULATING LIBRARY
Pita Audio dan Video

PROGRAM NILAM

WAKTU PERKHIDMATAN
Isnin hingga Jumaat : 8.00 pagi - 4.30 petang
Pusat Sumber BTP ditutup pada Hari Kelepasan Am

KOLEKSI BAHAN
Bahan-bahan perpustakaan dikelaskan mengikut Sistem Pengkelasan Dewey iaitu;

000   Karya Am
100   Falsafah
200   Agama
300   Sains Kemasyarakatan
400   Bahasa
500   Sains Tulen
600   Teknologi
700   Kesenian
800   Kesusasteraan
900   Geografi dan Sejarah

 



Amanat Tahun Baru,2006


Disediakan oleh Administrator
Wednesday, 10 January 2007

AMANAT TAHUN BARU 2006

Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan

Di Majlis Perhimpunan BTP Bulan JANUARI 2006
Tarikh : 4 Januari 2006
Tempat : Auditorium BTP 
 
Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.

Syukur alhamdulilah kerana dengan izin dan limpahNya kita dipanjangkan umur untuk melangkah ke tahun baru, tahun 2006. Kita juga bersyukur kerana sama-sama dapat berkumpul dalam Perhimpunan Bulanan pertama bagi tahun ini. Terlebih dahulu saya mengalu-alukan Encik Mohamad bin Abdulalh sebagai Timbalan Pengarah BTP.

Kita baru empat hari melangkah ke tahun 2006. Lazimnya, sebelum atau apabila tiba tahun baru, kita menilai pencapaian kita tahun lepas serta merancang program dan strategi untuk tahun baru. Selalunya juga, kedatangan tahun baru disambut dengan semangat baru yang berkobar-kobar dan azam yang berjela. Tetapi, pengalaman menunjukkan bahawa semangat itu tidak lama, dan terdapat azam yang disenaraikan di awal tahun lepas, dalam bentuk SKT, masih belum tertunai. Sebab utama mengapa azam kita itu tidak kesampaian ialah kelemahan kita sendiri.

Dengan itu, cabaran pertama kita tahun 2006 ini ialah menunaikan azam yang belum kesampaian itu. Di samping itu, kita juga perlu peka dengan perkembangan semasa yang berlaku di peringkat negara dan di peringkat Kementerian Pelajaran, yang berkemungkinan memberi kesan kepada tugas dan tanggungjawab kita dalam bidang teknologi pendidikan.

Semasa Mesyuarat Penyediaan SKT 2006 di Melaka baru-baru ini, saya telah mengenalpasti dasar dan isu yang perlu kita beri fokus dalam tahun 2006, dan menggariskan peranan dan tanggungjawab kita. Antara dasar dan isu itu ialah:

•  Pembestarian sekolah

•  Televisyen Pendidikan

•  Projek Teknologi Pendidikan di bawah Rancangan Malaysia ke-9

•  Inisiatif ICT yang dilaksanakan oleh Bahagian lain seperti Makmal Komputer, Schoolnet

•  Program Memperkasakan Sekolah Kebangsaan

•  Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

Peranan dan tanggungjawab kita berkaitan dengan dasar dan isu ialah sebagai perancang, pelaksana, atau pengesan pelaksanaan dasar.

Oleh itu, sepanjang tahun 2006 ini, kita akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara ini sementara meneruskan program-program teknologi pendidikan yang sedang berjalan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan-Puan sekalian,

Mula-mula, mari kita imbas kembali antara pencapaian kita dalam tahun 2005.

Dari segi penerbitan bahan pengajaran dan pembelajaran, kita telah menerbitkan 145 daripada 155 rancangan radio pendidikan, iaitu 90% daripada apa yang disasarkan. Kita juga telah menerbitkan 155 daripada 160 rancangan TV Pendidikan, iaitu 96.87 % daripada sasaran.

Dari segi pembangunan perisian kursus pendidikan, iaitu pembangunan dalaman oleh BTP Ibu Pejabat dan PSPN, kita telah menghasilkan 48 daripada 49 judul, iaitu 97.95% daripada sasaran tahun 2005. Bagi perisian kursus pendidikan untuk sekolah bestari, kita mensasarkan 232 judul untuk dibangunkan. Kita dapat hasilkan 266 judul, iaitu 34 judul tambahan.

Dalam hal penyediaan pembestarian sekolah, kita telah menyediakan Kertas Kabinet yang belum diluluskan. Walau bagaimanapun, kita telah menyelaras data berkaitan pembestarian sekolah, menyediakan key performance indicator, merancang perolehan infrastruktur dari segi peralatan ICT dan latihan kepada guru dan pentadbir.

Dalam tahun 2005, kita telah melaksanakan tiga projek rintis, iaitu Projek rintis LMS (MAMPU), Projek Rintis Refurbished Computer (MDC) dan Projek Rintis Portable Hard Disk . Sementara itu, sejumlah 185 Pusat Kegiatan Guru telah disambung ke Schoolnet. Bakinya akan disambung tahun 2006.

Dari segi pembangunan organisasi, pada tahun 2005, kita mendapat satu lagi PSPN, iaitu PSPN Wilayah Persekutaun Labuan, menjadikan jumlah PSPN kesemuanya ialah 15 buah.

Jumlah jawatan kita juga bertambah, iaitu daripada 1,492 jawatan kepada 2,229 jawatan, iaitu bertambah sebanyak 727 jawatan atau 49.39%. Pertambahan jawatan ini adalah disebabkan pertambahan jawatan di 367 PG dan pewujudan jawatan baru berikutan tertubuhnya PSPN Wilayah Persekutuan Labuan.

Daripada sejumlah 2,229 jawatan itu, terdapat 370 jawatan di BTP (Ibu Pejabat), 758 jawatan di 15 PSPN, dan 1,101 jawatan di 367 PKG.

Tahun 2005 juga menyaksikan penekanan kepada pengukuhan dan pemantauan gerakan kualiti di BTP. Sebagaimana kita tahu, BTP telah menjadi Johan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja peringkat Kementerian Pelajaran dan memenangi Anugerah Menteri Pelajaran.

Kita juga bertekad untuk melaksanakan sistem pengurusan kualiti. Sehingga 31 Disember, kita telah mendokumentasikan prosedur-prosedur yang diperlukan untuk pensijilan ISO 9001:2000. Pelancaran pelaksanaan ISO 9001:2000 akan disempurnakan sebentar lagi. Berkaitan itu juga, pembinaan bangunan untuk Pusat Kualiti dan Dokumentasi juga telah siap. Kita juga telah mencuba kerja secara matrik dengan menubuhkan Pasukan Petugas Kualiti dan Produktiviti.

Di sebalik kejayaan yang saya sebutkan itu, kita juga berasa sedih kerana dalam tahun 2005, terdapat enam (6) PKG dan pegawai-pegawai kita yang kehilangan harta benda dalam banjir yang melanda Kedah, Kelantan, dan Terengganu baru-baru ini. Kita sedang berusaha membuat taksiran kos yang diperlukan bagi membaiki PKG berkenaan. Bagi pegawai yang rumahnya ditimpa bencana alam itu, kita akan maklumat mengenainya kepada Kementerian Pelajaran yang mempunyai tabung bagi membantu kakitangan yang ditimpa bencana.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Secara umum, beberapa kelemahan boleh disebut di sini untuk mengingatkan kita agar kita dapat belajar daripadanya:

•  Kurang fokus dalam melaksanakan fungsi utama.Ini menyebabkan kerja-kerja penting diabaikan atau mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

•  Sense of ungency kurang. Ada arahan Pengarah BTP diabaikan, dan banyak arahan Pengarah BTP berkaitan core-business lambat diambil tindakan atau belum diambil tindakan.

•  Kekurangan data yang tepat dan terkini, dan usaha pengumpulan data asas berjalan lambat. Ini boleh menjejaskan decision making di peringkat BTP dan Kementerian Pelajaran.

•  Shortfall ( ketidakupayaan dalam berbelanja) dalam perbelanjaan adalah tinggi, dan ini boleh dianggap oleh pihak luar sebagai kelemahan kita dalam menguruskan perbelanjaan.

•  Kurang komunikasi antara sektor menyebabkan ada kerja yang bertindih yang memberi kesan kepada pembaziran penggunaan wang, pembaziran penggunaan tenaga kerja baik bagi BTP mahpun bagi PSPN atau PKG yang terlibat.

•  Kurang kawalan dalaman dari segi pergerakan keluar pejabat di kalangan pegawai.

•  Mesyuarat di peringkat Sektor kurang.

•  Banyak keputusan mesyuarat/perkara berbangkit daripada mesyuarat penting tidak dibuat follow up dan follow through.

•  Pegawai yang kurang competence dalam melaksanakan tugas yang besar dan mencabar.

•  Kesilapan dari segi prosedur.

•  Semangat kekitaan yang kurang.

•  Perasan hasad dengki yang ketara.

Saya berharap setiap Sektor dan Unit dapat berfikir cara mengatasi kelemahan yang saya sebutkan tadi dan beberapa kelemahan lain yang tidak dapat saya sebut satu persatu di sini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Sekarang kita sudah berada di tahun 2006, tahun pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Saya berharap kita bersedia untuk melaksanakan SKT yang telah kita rancang bersama di Melaka tempoh hari, selain memberi fokus kepada dasar dan isu pendidikan yang saya sebutkan tadi . Kita akan meneruskan kejayaan yang dicapai sehingga kini. Kita juga perlu mengatasi kelemahan yang saya senaraikan tadi. Dalam hal ini, kita perlu mengadakan perubahan.

Secara ringkas, antara strategi penting yang akan kita ambil adalah seperti berikut:

•  Meningkatkan knowledge-base .

•  Memperketatkan tapisan kakitangan baru.

•  Mempertingkatkan keupayaan tenaga manusia.

•  Memberi penekanan kepada penyediaan prosedur yang komprehensif.

•  Meningkatkan pemantauan.

•  Memberi penekanan kepada keutuhan pengurusan.

•  Memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalaman.

•  Memperkukuhkan sekolah bestari sedia ada.

•  Memperkukuhkan PKG.

•  Memantapkan Sistem Pengurusan Kualiti.

 

Perkhidmatan Berkualiti

Segala usaha dan kemudahan yang disediakan oleh BTP seperti bangunan yang cantik dan peralatan yang canggih menjadi sia-sia sekiranya anggota BTP tidak dapat memberi perkhidmatan yang berkualiti. Kita sedar bahawa dari jumlah kakitangan yang ada dalam sesebuah organisasi, ada segelintir mereka yang tidak menyumbang atau menumpang saja dalam organisasi. Mereka ini perlu sedar dan berubah.

Kita perlu ingat bahawa kerja kita merupakan satu cabang ibadah yang memerlukan kita melakukannya secara bersungguh-sungguh, ikhlas dan sebaik mungkin. Kerja hendaklah dilakukan dengan teratur dan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan, menepati masa, dan dengan komitmen yang tinggi. Kita juga perlu memupuk sikap minat bekerja yang tinggi dalam diri kita. Cara ini akan menghasilkan kerja yang berkualiti.

Di samping itu, kita juga perlu mengamalkan sikap bersyukur dan terus menimba ilmu pengetahuan. Jika semua ini kita amalkan, kita akan menjadi pegawai yang cemerlang dan insan yang diredhai Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Di kesempatan ini, saya ingin memaklumkan juga bahawa kita kini sedang dalam proses mendapatkan Sijil MS ISO 9001: 2000. Kita akan lancarkan pelaksanaan MS ISO 9001:2000 sebentar lagi. Saya berharap semua pegawai BTP, khususnya mereka yang akan terlibat dalam pelaksanaan sistem pengurusan kualiti (SPK), telah bersedia dan mengambil tindakan yang perlu seperti melaksanakan kerja mengikut prosedur kerja yang didokumenkan dan mendokumenkan kerja. Di samping itu, tindakan penambahbaikan perlu dibuat secara berterusan selaras dengan hasrat kita untuk meningkatkan hasil mutu kerja. Langkah ini penting untuk menentukan tahap mutu produk dan perkhidmatan yang diberi kepada pelanggan adalah sentiasa cemerlang.

Kepada Sektor Perkhidmatan Sumber Pendidikan khususnya, dan warga BTP lain amnya, tahniah dan terima kasih saya ucapkan kerana berjaya mengelolakan majlis Perhimpunan Bulanan pada pagi ini.

Kepada semua anggota BTP sekalian, marilah kita berjanji untuk memberi sepenuh komitmen kepada tugasan dan tanggungjawab kita untuk membawa BTP ke tahap yang lebih menyerlah dan cemerlang. Jadikan tahun 2006 ini lebih baik daripada tahun 2005.

Saya sudahi amanat tahun baru ini dengan mengajak tuan-tuan dan puan-puan merenung petikan kata-kata daripada George Bernard Shaw:

The reasonable man adapts himself to the world;

The unreasonable man persists in trying to adapt the world to himself.

Therefore, all progress depends on the unreasonable man.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Pejabat Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan
Kementerian Pelajaran Malaysia

 
Navigation

| Dasar Privasi | Dasar Keselamatan |

Hak Cipta Terpelihara © 2008 - Bahagian Teknologi Pendidikan
Penafian

Bahagian Teknologi Pendidikan tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang
diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.